ASRI (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan pistol serta dadah yang dirampas. FOTO Sharul Hafiz Zam
ASRI (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan pistol serta dadah yang dirampas. FOTO Sharul Hafiz Zam
Muhaamad Hafis Nawawi


PENJENAYAH maut ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan di kawasan persimpangan Kampung Weng Dalam, menghala ke Kampung Ulu Legong, Baling, semalam.

Dalam kejadian 4.25 pagi itu, lelaki berusia 41 tahun yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan senjata api dan dadah memandu kereta dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, pegawai dan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri yang membuat rondaan di kawasan terbabit kemudian menghampiri kereta itu untuk pemeriksaan.

Menurutnya, tiba-tiba suspek yang berada di dalam kereta terus melepaskan beberapa das tembakan sebelum dia keluar menggunakan pintu penumpang hadapan.

"Suspek sekali lagi melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan sebelum lelaki itu ditembak mati.

"Pemeriksaan lanjut menemui pistol semi auto jenis Norinco bersama kelopak, lapan paket plastik lutsinar disyaki dadah heroin seberat 40 gram bernilai RM1,000 dan dua keping nombor pendaftaran kereta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini.

Asri berkata, semakan juga mendapati kereta yang digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dipercayai kereta itu berasal dari negara jiran.

"Siasatan lanjut menemui empat kesan tembakan dari dalam kereta suspek dan empat kesan tembakan dari luar.

"Pemeriksaan pada suspek juga menemui kesan tembakan di badan dan kepala," katanya.

Beliau berkata, suspek yang tidak bekerja memiliki tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah dan ugutan serta menjalankan kegiatan penyeludupan senjata api dan dadah.

"Susulan itu, kita kemudian membuat pemeriksaan di rumahnya di Kampung Selarong, Pengkalan Hulu, Perak dan menemui satu batang bom buatan sendiri yang dibuat daripada batang paip, pelbagai jenis peluru hidup dan dadah syabu seberat 250 gram bernilai RM17,500.

"Isterinya berusia 30-an warga Thailand turut ditahan dan direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan," katanya.

Menurut Asri, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 2:55 PM