Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Bagaikan babak filem aksi, begitu tindakan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dilihat menerusi video tular yang mempertaruhkan nyawanya bagi menyelamatkan dua individu terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, Isnin lalu.

Anggota yang bertugas di Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD), Koperal Mazlan Abdul Rahman berkata, tindakan spontan itu selepas melihat dua mangsa terbabit terapung di permukaan air.

Bercerita mengenai kejadian itu, Mazlan berkata, dia baru sahaja selesai bertugas di Kem Sungai Ara dan mahu pulang ke rumahnya di Sungai Petani, Kedah, dengan menaiki motosikal.

Katanya, ketika di pertengahan Jambatan Pulau Pinang, dia melihat orang ramai berkumpul di bahu jalan dan menyangka berlaku kemalangan sebelum menyedari terdapat lelaki dan wanita terjatuh dari jambatan itu.

"Mungkin Allah SWT gerakkan hati saya untuk terjun bagi menyelamatkan mangsa lelaki yang terapung serta dalam keadaan stabil, walaupun cedera di kepala. Keadaan memang gelap selain arus laut kuat dan banyak obor-obor.

"Kemudian, saya selamatkan mangsa wanita yang terkapai-kapai minta pertolongan sebelum menarik mereka bagi berpaut pada tembok berhampiran tiang jambatan.

"Saya tidak dapat mengangkat mangsa ke atas tembok kerana ia terlalu tinggi dan kami bertiga hanya berpaut di tembok berkenaan selama hampir 20 minit, sementara menanti bantuan bot nelayan terdekat," katanya ketika ditemu bual Harian Metro menerusi panggilan video di Kem Sungai Ara di sini, semalam.

Berikutan itu, Mazlan berkata, dia cedera di kaki, selain sakit di belakang badan akibat di sengat obor-obor.

Sejurus diselamatkan bot nelayan, Mazlan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang pada jam 5 pagi semalam.

"Sewaktu kecil, saya pernah menyelamatkan abang daripada lemas dan kini ketika berkhidmat di TDM, saya adalah seorang jurulatih jasmani dan sukan.

"Saya pernah mengikuti kursus menyelamat serta menangani situasi seumpamanya dengan latihan di tempat setinggi 10 meter dan mungkin kerana itu saya ada keberanian bagi mempraktikkan kaedah berkenaan ketika kejadian," kata bapa kepada dua anak itu yang sudah 14 tahun berkhidmat dalam pasukan TDM.

ANGGOTA TDM yang bertugas di Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) Koperal Mazlan Abdul Rahman, ketika ditemu bual menerusi panggilan video di Sungai Ara, di sini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
ANGGOTA TDM yang bertugas di Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) Koperal Mazlan Abdul Rahman, ketika ditemu bual menerusi panggilan video di Sungai Ara, di sini. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 8:18 AM