GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan dan Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Lumpur: Dua anggota tentera dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) disahkan meninggal dunia selepas dihempap pokok ketika menjalani operasi.

Dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang meninggal dunia itu adalah Sarjan Mohd Kamal Ramli, 41, dan Koperal Muhammad Zaki Johari, 31.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat berkata, kejadian berlaku pada 2.30 pagi hari ini di pangkalan sementara di kawasan operasi pasukan yang dilanda ribut kencang.

"Bagaimanapun, pada 2.50 pagi selepas suasana tenang, pemeriksaan keselamatan dilaksanakan dan mendapati kedua-dua anggota meninggal dunia akibat ditimpa pokok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, TDM menzahirkan ucapan takziah buat isteri Allahyarham Sarjan Mohd Kamal iaitu Koperal Siti Nafishah Mohd Nasir dan isteri Allahyarham Koperal Muhammad Zaki, Nurummi Amirah Chepa serta seluruh ahli keluarga Allahyarham berdua.

"TDM akan menghulurkan bantuan sewajarnya dalam memastikan kebajikan keluarga mereka terjaga.

"Jenazah Sarjan Mohd Kamal akan dikebumikan di Sungai Petani, Kedah, manakala jenazah Koperal Muhammad Zaki akan dikebumikan di Chuping, Perlis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden menimpa dua anggota tentera ketika menjalankan tugas operasi di kawasan pedalaman Hutan Belum, Gerik, itu kira-kira 11.50 pagi hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa, Mohd Kamal dan Muhammad Zaki dari Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sungai Ara, Pulau Pinang.

"Kedua-dua mangsa sudah dikeluarkan dari kawasan operasi tentera menggunakan helikopter Angkatan Tentera Malaysia ke Batalion Ke-2 Kem Sungai Ara sebelum dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Polis Perak merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga kedua-dua mangsa di atas kejadian terbabit," katanya menerusi kenyataan malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 10:53 PM