AHMAD Hasbullah dan Zamrose menandatangani Sijil Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat dengan disaksikan oleh Menteri Kanan Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera. FOTO  IHSAN MINDEF
AHMAD Hasbullah dan Zamrose menandatangani Sijil Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat dengan disaksikan oleh Menteri Kanan Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera. FOTO IHSAN MINDEF
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


JENERAL Datuk Zamrose Mohd Zain dilantik menjadi Panglima Tentera Darat (PTD) ke-28 bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi yang bersara wajib.

Zamrose dilahirkan pada 22 September 1962 di Seremban, Negeri Sembilan dan memulakan karier dengan menyertai latihan sebagai Pegawai Kadet pada tahun 1980 sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 24 Januari 1981.

Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) adalah unit pertama perkhidmatan beliau di bidang ketenteraan.

Sepanjang 39 tahun usia perkhidmatannya beliau menyandang pelbagai jawatan penting di dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) dan jawatan terakhir sebelum ini adalah Panglima Medan Timur Tentera Darat.

Majlis Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat (PTD) diadakan di Auditorium Wisma Pertahanan di Kuala Lumpur antara Ahmad Hasbullah dan Zamrose disaksikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Terdahulu, majlis pemakaian pangkat itu disempurnakan Ismail Sabri disaksikan oleh PAT dan Panglima-panglima Perkhidmatan.

Sementara itu, Ahmad Hasbullah akan menjalani kursus peralihan sebelum bersara wajib pada November ini.

Beliau yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak memulakan kerjaya dalam bidang ketenteraannya dengan mengikuti latihan Pegawai Kadet sebelum dipilih mengikuti latihan di Australia.

Beliau ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 11 Disember 1981 sebagai Ketua Platun dan berkhidmat di Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD).

Sepanjang perkhidmatan selama 40 tahun 2 bulan di dalam TDM, Ahmad Hasbullah turut menyandang pelbagai jawatan penting.

Beliau turut berpengalaman terbabit secara langsung memerangi ancaman komunis serta melaksanakan tugas-tugas pemerintahan, staf dan jurulatih.

Kemuncak ketokohan dan kepimpinan beliau adalah ketika menjadi Ketua Peneraju Op Penawar pada awal tahun ini dalam membantu kerajaan menangani isu Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 7:20 PM