NUR Nina bersama siput babi Afrika kesayangannya.
NUR Nina bersama siput babi Afrika kesayangannya.
Muhamaad Razis Ismail’


Kuala Lumpur: "Walaupun ia spesies katak paling beracun di dunia namun memiliki dan membelanya adalah satu kepuasan pada saya," ujar Mohd Faizal Kamarulzaman, 35, yang memelihara dart frog sejak dua tahun lalu di kediamannya di Johor Bahru, Johor.

Menurutnya, dia tertarik dengan kecantikan warna katak spesies berasal dari hutan Amerika Selatan yang unik dan menyerlah.

"Saya kini memiliki dua katak spesies Dendrobates Auratus Costa Rican berwarna hijau dan hitam serta Dendrobates tinctorius Tumucumaque berwarna kuning dan biru gelap.

"Dart frog adalah katak kecil yang boleh mencapai usia empat hingga 15 tahun bergantung pada jenis dart frog ni.

"Lazimnya, dart frog ditempatkan di dalam Vivarium Akuarium bagi memastikan keselesaannya," katanya.

Bapa kepada seorang anak ini berkata, dia turut tertarik dengan kemampuan katak ini yang berupaya menghasilkan bunyi unik.

Katanya, dia seronok apabila katak beracun ini mengeluarkan bunyi apabila meminta diberikan makanan dan menyahut apabila mendengar suara katak lain.

"Disebabkan katak beracun ini diimport dari luar negara, pemiliknya perlu mendapatkan lesen sah dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Di habitat asalnya, dart frog adalah haiwan yang sangat beracun kerana diet pemakanan amfibia ini yang memakan semut, hama dan anai-anai dan beberapa jenis hidupan kecil bertoksik di hutan.

"Bagaimanapun dart frog yang dibiakkan tidak bahaya dan sesuai untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan. Namun, saya tidak terlalu kerap memegang haiwan ini kerana ia sangat sensitif dengan bakteria yang mungkin ada pada tangan," katanya.

Menurutnya, katak ini diberi makan lalat buah (Hydei and Melonagaster) yang ditabur dengan serbuk kalsium dengan kekerapan sehari atau dua kali sehari.

"Selain itu, katak ini akan makan springtails yang kebiasaannya akan ada di dalam setiap vivarium akuarium.

"Dart frog sangat sensitif terhadap suhu dan kelembaban persekitaran. Oleh demikian, saya perlu menempatkan akuarium di tempat yang bersesuaian (suhu digalakkan 70 hingga 74 darjah Celsius, manakala kelembapan atas dari 80 peratus)," katanya.

Siput babi gergasi Afrika 'tak malu'

Siput babi (Achatina fulica) bukan sahaja dilabelkan sebagai haiwan perosak tanaman malah menggelikan ramai individu berikutan mempunyai badan yang lembut dan berlendir.

Namun di sebalik pelbagai tanggapan itu, terdapat segelintir individu yang menjadikan siput babi gergasi Afrika sebagai haiwan peliharaan kesayangan.

Salah seorang daripada mereka adalah Nur Nina Farisha Woo Abdullah, 26, yang memelihara siput babi gergasi spesis African Giant Land Snail berasal dari Afrika di kediamannya sejak 2018.

Nur Nina berkata, siput babi gergasi Afrika atau Lissachatina Fulica mempunyai keunikan tersendiri dan tidak mudah ditemui.

"Mungkin kedengaran pelik, namun siput babi Afrika adalah haiwan yang sangat jinak, tidak berbau dan tidak mengeluarkan bunyi.

"Saya seronok melihat haiwan kumpulan Moluska (mollusca) ini makan dan bergerak," katanya yang mula membela siput babi Afrika sejak 2018.

"Pada peringkat awal, saya memiliki sekitar lima siput babi Afrika dewasa untuk dijadikan haiwan peliharaan dan induk untuk pembiakan.

"Siput ini hanya bertelur sekitar enam hingga 14 telur setiap tiga bulan. Telur akan dieram di dalam tanah dan akan menetas sekitar 38 hingga 40 hari dari waktu bertelur," katanya.

Menurutnya, karakter siput babi gergasi ini berbeza dengan siput babi tempatan yang biasa ditemui di negara ini.

KATAK beracun dart frog yang dijadikan sebagai haiwan peliharaan oleh Mohd Faizal.
KATAK beracun dart frog yang dijadikan sebagai haiwan peliharaan oleh Mohd Faizal.

"Haiwan ini lebih senang dengan kehadiran manusia. Ia juga bukan haiwan yang bersifat pemalu dan sangat sesuai dijadikan haiwan peliharaan kerana tidak mengeluarkan sebarang bau.

"Selain itu, ia juga tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda tidak selesa ketika dikendalikan dan sangat mudah untuk menyesuaikan diri di tempat baru.

"Siput ini juga adalah haiwan nokturnal yang lebih aktif pada waktu malam mungkin kerana suhu sekitar yang lebih dingin. Suasana yang gelap membuatkan ia berasa lebih selamat," katanya.

Dia mengakui, ramai yang terkejut dan berasa jijik serta geli apabila melihat dia bermain dengan siput babi peliharaannya.

"Saya menerima semua reaksi daripada netizen dan menganggap itu semua perkara biasa. Bukanlah aneh bagi setiap individu memberi reaksi yang berbeza terhadap sesuatu perkara.

"Bagi memberi pendedahan mengenai haiwan unik ini kepada orang awam, saya aktif memuat naik lebih banyak info dan perkongsian di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Tiktok," katanya.

Jika terlepas orang awam berisiko

Trend menjadikan haiwan eksotik reptilia, burung dan haiwan pemangsa sebagai binatang peliharaan di negara ini dilihat semakin meningkat.

Pensyarah Kanan Pengurusan Hidupan Liar dari Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan berkata, kesukaran mendapatkan haiwan eksotik ini yang kebanyakannya dibawa masuk dari luar negara akan menimbulkan kepuasan kepada pemiliknya.

Menurutnya, semakin sukar haiwan itu diperoleh maka semakin ia mencetus keterujaan.

KHAIRUL memberi makan pada anak buaya kerana hobi peliharan pelbagai haiwan eksotik kediamannya, Sekamat Villas. FOTO Amirudin Sahib
KHAIRUL memberi makan pada anak buaya kerana hobi peliharan pelbagai haiwan eksotik kediamannya, Sekamat Villas. FOTO Amirudin Sahib

"Haiwan 'pelik' seperti serangga, reptilia dan haiwan pemangsa mempunyai tabiat pemakanan yang berbeza dari haiwan domestik yang lain.

"Ini kerana sifat liar di dalam haiwan eksotik ini masih wujud dan memerlukan haiwan eksotik ini memburu, menumpaskan dan seterusnya memakan haiwan lain baga memenuhi naluri liar," katanya.

Menurutnya, sekiranya naluri pemangsa tidak dipenuhi, maka ada kemungkinan haiwan eksotik peliharaan akan menyerang pemiliknya.

"Perlu diingat bahawa makanan dan perilaku liar haiwan eksotik ini selalunya menjadi faktor serangan terhadap pemiliknya. Antara perilaku liar yang selalu menjadi faktor ialah pembiakan, perayauan dan pemangsaan.

"Pemilik perlu mencari sumber makanan yang tetap dan perlu memperuntukkan bajet makanan yang cukup untuk haiwan seperti ini," katanya.

Mengulas lanjut, haiwan eksotik seperti ular, haiwan primat dan pelbagai haiwan liar lain tidak sesuai dipelihara di kawasan penduduk berkepadatan tinggi.

PELIHARAAN pelbagai haiwan eksotik oleh Khairul Johari Mohd Denie kediamannya, Sekamat Villas. FOTO Amirudin Sahib
PELIHARAAN pelbagai haiwan eksotik oleh Khairul Johari Mohd Denie kediamannya, Sekamat Villas. FOTO Amirudin Sahib

"Sekiranya berlaku insiden haiwan peliharaan terlepas, maka risiko kepada orang awam adalah lebih tinggi.

"Saya menasihatkan, orang ramai memelihara haiwan yang tidak akan mendatangkan isu keselamatan dan kesihatan pada diri sendiri dan masyarakat awam," katanya.

Tak takut peluk buaya

Melihat lelaki ini bermain dan memeluk salah seekor daripada enam buaya peliharaannya di dalam kolam khas di halaman rumah membuatkan sesiapa akan berasa gerun.

Selain buaya kesayangan diberi nama Perang itu, Khairul Johari Mohd Denie, 38, turut memelihara tiga lagi buaya dinamakan sebagai Gray, Maria dan Kelabu. Manakala dua lagi buaya masih tidak diberikan nama.

Bukan itu sahaja, bapa kepada tiga anak itu turut dilihat menyuap makanan ke mulut buaya spesies Smooth-fronted Caiman itu tanpa menunjukkan sebarang perasaan takut.

Buaya sepanjang kira-kira 2.1 meter itu boleh sahaja menyerang dan mendatangkan kecederaan kepada pemiliknya pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, Khairul Johari berkata, sejak memelihara buaya itu tujuh tahun lalu, reptilia amfibia itu tidak pernah menyerang dan mencederakannya.

Dia berkata, hubungannya dengan semua buaya peliharaannya itu sangat rapat sehingga tidak timbul rasa takut dan bimbang terhadap haiwan pemangsa itu.

"Sejak buaya ini berusia setahun, saya selalu meluangkan masa selama beberapa jam untuk bercakap dengan buaya. Buaya ini akhirnya menjadi jinak dan akan segera mendekatinya apabila dipanggil nama. Malah sehingga kini, saya dan isteri selalu bersembang dengan buaya dibela selepas anak tidur.

"Biarpun jinak, saya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Apabila buaya ini menunjukkan tanda-tanda emosi tidak baik termasuk mendengus dan mengembangkan badan, saya tidak akan kacau buaya dipelihara buat sementara waktu. Biasanya keadaan ini berlaku selama beberapa hari apabila saya menukar air kolam," katanya.

Menurutnya, minat untuk memelihara buaya sudah mula muncul sejak dia masih kanak-kanak berikutan keunikan haiwan itu.

"Sejak kecil lagi, saya sukakan haiwan termasuk menyimpan cita-cita untuk memelihara buaya. Saya bertuah kerana berjaya memujuk seorang pembiak baka buaya berdaftar dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk menjual enam ekor buaya untuk dipeliharanya.

"Dengan resit pembelian buaya itu, saya memohon lesen memelihara buaya daripada Perhilitan," katanya.

Menurutnya, sehingga kini masih ramai yang tidak mengetahui bahawa proses memohon lesen menyimpan haiwan liar dilindungi adalah mudah dan tidak memerlukan kos yang tinggi.

"Atas sebab itu, saya aktif berkongsi di Tiktok berhubung keperluan memiliki lesen untuk memelihara haiwan yang disenaraikan oleh Perhilitan," katanya.

Dia berkata, penjagaan buaya amat mudah dan tidak membabitkan kos yang tinggi seperti haiwan peliharaan lain.

"Hampir setiap hari saya berikan kepala ayam yang diperoleh secara percuma di kedai runcit berhampiran di rumah. Selain itu, buaya dikenali sebagai haiwan yang lasak dan sukar diserang sebarang penyakit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 11:02 AM