LEON antara haiwan kesayangan.
LEON antara haiwan kesayangan.
Lydia Saiful


PEMINAT haiwan eksotik bukan sahaja bersedia dari aspek masa dan fokus, malah mereka sanggup mengeluarkan sejumlah wang bagi memastikan semua keperluan haiwan peliharaan kesayangan dipenuhi.

Ada haiwan eksotik tidak cerewet untuk dijaga dan ada yang sebaliknya. Paling penting pemilik perlu memastikan haiwan dalam keadaan sihat dan bebas penyakit.

Namun ada haiwan peliharaan dibeli dengan harga mahal dan memerlukan kos penjagaan tinggi.

Bagaimanapun, tidak semua haiwan eksotik berbahaya dan memerlukan lesen daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Bagi Ahmad Hafizi Ahmad Zaini, 38, dia memiliki sembilan haiwan eksotik yang dijadikan haiwan peliharaan dan dia tidak bersendirian kerana hobinya turut mendapat dorongan isteri serta anaknya.

Dia mempunyai sepasang 'sailfin dragon'berusia dua tahun dan setahun diberi nama Shenron & Bulma.

Pada masa sama, dia memelihara 'dumpy tree frog' berusia empat tahun dan 'bearded dragon' diberi nama Rasengan.

Katanya, keunikan haiwan berkenaan membuatkan Ahmad Hafizi berminat menjadikannya sebagai haiwan peliharaan walaupun perlu teliti supaya ia bebas penyakit.

"Untuk mengekalkan penghadaman yang baik perlu jaga makanan dan untuk elak penyakit tulang, ia memerlukan lampu UVA & UVB enam hingga lapan jam sehari," katanya.

Tidak sekadar itu, Ahmad Hafizi juga memelihara 'African bullfrog' diberi nama Bulla berusia setahun yang tidak memilih makanan menjadikan haiwan itu mudah dijaga.

AHMAD Hafizi bersama ‘sailfin dragon’ yang dipelihara.
AHMAD Hafizi bersama ‘sailfin dragon’ yang dipelihara.

"Bulla itu saya beli dengan harga RM200 dan boleh membesar sehingga tiga ke empat kilogram (kg)," katanya.

Katanya, dia juga memiliki 'leopard gecko' atau diberi nama Leon berusia tiga tahun juga antara haiwan kesayangannya.

"Walaupun harga bagi seekor leopard gecko RM200 hingga ke RM600 namun saya tetap membelinya kerana tertarik dengan rupa paras reptilia itu," katanya.

Malah, kunjungan ke ekspo haiwan turut mendorong Ahmad Hafizi membeli 'corn snake' pada RM300 ke atas dan memberi nama sebagai Korn.

"Di bawah badan Korn ada corak berbentuk jagung dan mempunyai warna yang boleh menarik perhatian orang.

"Korn akan makan tikus seminggu sekali dan kos penjagaan RM20 sebulan untuk memastikan haiwan itu mendapat makanan sepatutnya," katanya.

Bagi 'pacman frog' yang dipeliharanya berusia dua tahun pula dikatakan agak agresif.

ARCTIC fox dibela Mohd Badrul sejak 2021.
ARCTIC fox dibela Mohd Badrul sejak 2021.

"Antara makanannya adalah pelet, serangga dan tikus dan yang memerlukan belanja RM15 sebulan," katanya.

Ahmad Hafizi juga turut memelihara tarantula berusia kurang daripada setahun yang gemar merayap dan sedikit berbahaya namun kos untuk menjaganya hanya RM2 sebulan.

"Antibodi yang lemah akan menyebabkan seseorang bengkak sekiranya memegang tarantula namun ia tidak terlalu bahaya serta tidak memerlukan lesen Perhilitan.

"Setiap haiwan berisiko mendapat penyakit jangkitan pernafasan (respiratory infection) namun boleh dielak dengan memastikan persekitaran bersih.

"Harga bagi memelihara haiwan eksotik saya RM250 sebulan namun jika perlu pergi ke klinik haiwan kos tambahan kena dibayar RM200.

"Selain bekerja sendiri atau menjual haiwan eksotik, saya juga membuat 'petting mini zoo' bergerak dan jika ada permintaan untuk majlis tertentu," katanya.

Katanya, dia membahagikan pendapatan bulanan secara bijak dengan mengetepikan bajet sebanyak RM300 untuk keperluan binatang eksotik.

SULCATA milik Mohd Redzuan.
SULCATA milik Mohd Redzuan.

Buruh kasar, Mohd Redzuan Abdullah Zawawi, 39, yang memelihara 15 kura-kura gergasi (Sulcata) berusia 20 tahun berkata, haiwan berkenaan yang banyak ditemui di Afrika mudah dijaga kerana tidak memerlukan air.

"Kura-kura terbesar saya pelihara beratnya hampir 35 kilogram (kg). Ia gemar makan sayur-sayuran, rumput dan kos makanan hanya RM20 sehari.

"Harga seekor Sulcata agak mahal iaitu RM5,000 namun ia tidak menjadi penghalang kepada minat saya terhadap haiwan eksotik," katanya.

Pada masa sama, Mohd Redzuan turut memelihara sepasang burung unta.

"Burung unta bertindak agresif jika terancam atau pasangannya diganggu. Ia akan menendang atau menggigit, selain mengeluarkan bunyi bising.

"Setiap seekor ada karakter tersendiri dan kerana itu, saya sebagai bapa perlu faham dengan keinginan burung terbabit selain ada pengetahuan untuk menjaganya," katanya.

Sementara itu, arkitek, Mohd Badrul Zaman Mohd Basri, 44, pula memiliki 12 pasang cerpelai (meerkat) yang dibelinya di Afrika pada harga RM4,500 seekor.

Katanya, haiwan berkenaan tidur dalam sangkar atau di dalam kotak berisi pasir.

"Meerkat gemar bermain dengan kucing, malah turut makan makanan kucing," katanya.

Selain itu, Mohd Badrul juga memelihara musang artik (arctic fox) yang dibela sejak 2021.

"Kebiasaan haiwan ini gemar berjaga dan aktif di malam hari dan tidur sebelah siang," katanya.

Dia juga memelihara monyet terkecil di dunia sebesar tapak tangan iaitu 'pigmi marmoset' (marmoset) yang dibeli dari Brazil dan memerlukan lesen dari Perhilitan.

"Sebagai seseorang yang bekerja dan minat memelihara haiwan eksotik, saya perlu pandai atur kewangan kerana hampir RM2,000 dihabiskan untuk hobi.

"Saya bercadang sediakan tabung bagi menampung keperluan haiwan dan sebagai dana untuk membeli haiwan lain," katanya

.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 7:00 AM