Ikuti temu bual Metro Ahad bersama empat selebriti iaitu Datuk DJ Dave, Mark Adam, Mat Dan dan Stacy Anam mengenai keindahan Islam daripada sudut pandang mereka sebagai Muslim.
Ikuti temu bual Metro Ahad bersama empat selebriti iaitu Datuk DJ Dave, Mark Adam, Mat Dan dan Stacy Anam mengenai keindahan Islam daripada sudut pandang mereka sebagai Muslim.
Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Sesungguhnya hidayah itu milik Allah SWT dan sesiapa saja yang terpilih akan menerimanya. Apapun, keindahan Islam itu semestinya kita semua sebagai Muslim merasainya.

Justeru, Malaysia yang dikenali negara berbilang kaum juga memberi ruang kebebasan beragama. Bagaimanapun, didapati kini ramai juga dalam kalangan selebriti tanah air tidak kira peringkat umur memeluk Islam.

Antara penggiat seni bukan Melayu kini beragama Islam ialah Marion Caunter, Daphne Iking, Murali Abdullah, Chew Kin Wah, Farid Amirul Hisham Wu Abdullah, Adam Corrie, Susan Menon, Marsha Milan, Nor Aliah Lee dan Margaret Gan.

Ikuti temu bual Metro Ahad bersama empat selebriti iaitu Datuk DJ Dave, Mark Adam, Mat Dan dan Stacy Anam mengenai keindahan Islam daripada sudut pandang mereka sebagai Muslim.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave

Penyanyi era 1970-an, Datuk DJ Datuk atau nama Islamnya, Irwan Shah Abdullah, 75, memeluk Islam dengan rela hati pada 1978, ketika berusia 30 tahun selepas berhijrah dari Perak ke Kuala Lumpur untuk membina kerjaya.

Pemilik nama sebenar Dhammi Jagjit Sukhdev ini berkata dia berniat memeluk Islam selepas lagu popularnya, Menjelang Hari Raya dirakam pada akhir 1977.

"Alhamdulillah, saya memeluk Islam selepas itu apabila berasa tertarik dengan cara kehidupan ibu angkat saya, Allahyarham Emak Rokiah ketika sama-sama menetap di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

"Saya mulanya datang ke ibu kota pada waktu itu kerana bekerja sebagai pegawai pos dan juga menyanyi serta berjumpalah dengan ibu angkat yang saya panggil Emak Rokiah itu.

"Jadi, dikelilingi persekitaran masyarakat Melayu dan tertarik juga dengan cara keluarga Emak Rokiah mengamalkan Islam dalam kehidupan harian, membuatkan saya nekad bergelar Muslim," katanya.

DJ Dave berkata, pada awal memeluk Islam, beliau berhadapan cabaran pada Ramadan yang memerlukannya berpuasa dan ia tidak mudah dilakukan pada tahun pertama sebagai Muslim.

"Bagaimanapun, Islam mengajar saya prinsip penting dalam hidup iaitu kita perlu buat baik, kita jangan tipu, jangan menghina orang serta jangan fitnah. Jadi, saya gembira beragama Islam.

"Saya gembira sebab apabila kita buat sesuatu dengan lurus hati, saya rasa tidak sesat. Terutama, dalam pergaulan apabila bersama rakan sesama Islam, saya rasa bahagia dan semacam ada sesuatu yang sangat menarik.

"Apapun, semua agama mengajar kita untuk berbuat baik. Cuma, saya ini walaupun bukan orang yang warak-warak sangat, tapi saya memegang prinsip agama Islam itu," katanya.

Penyanyi dan pelakon, Mark Adam

Berasal dari Cebu, Filipina, Mark Adam, 44, datang ke Malaysia untuk bekerja pada 2001. Namun, dalam tempoh sebulan berada di negara ini, dia akui terpikat dengan Islam dan berminat mendalaminya.

"Alhamdulillah, saya peluk Islam pada 2001 sebelum berkahwin dengan isteri, Norazah Redzuan yang juga antara individu yang banyak membantu saya memahami agama Islam dengan jelas.

"Masa saya kecil dulu, saya sebenarnya ingat Islam itu agama 'hantu' sebab di Filipina ada hantu bersujud. Apabila dah besar pula, kita tengok orang Islam berperang sana sini dan saya jadi berfikir Islam itu jahat.

"Tapi, selepas keluar dari Fiilipina pada 2001, negara pertama yang saya kunjungi ialah Malaysia. Saya berjumpa seorang kawan dikenali, Zul yang bekerja di hotel serta dia adalah orang Islam paling baik saya jumpa dalam hidup.

"Kemudian, saya baru bertemu dengan isteri yang banyak bantu saya hingga akhirnya minda dan pemikiran saya terhadap Islam berubah. Saya jadi banyak nak tahu berkaitan Islam kerana sudah cinta dengannya," katanya.

Mark atau nama Islamnya, Fikri Mark Adam Abdullah berkata, dia memeluk Islam di Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) Kuala Lumpur selepas mendapat izin daripada ibu bapanya.

"Kisah saya di Filipina dulu akan duduk di gereja selama dua bulan dalam setiap tahun sebab saya adalah antara ketua atau orang kuat berpengaruh nombor dua di gereja itu.

"Saya juga boleh dikatakan berpegang kuat dengan agama Kristian dulu. Apatah lagi, nenek saya berpengaruh sebagai pemimpin bacaan doa di gereja. Begitu juga dengan ibu bapa saya ada pengaruh mereka.

"Selepas jumpa ibu untuk mohon izin peluk Islam, saya jumpa bapa juga. Ayah hanya tanya, adakah saya 'happy' (gembira) dengan Islam dan selepas mengakuinya, bapa saya tak cakap apa dan izinkan saja," katanya.

Mark atau nama asalnya, Marcus Adam Macaraig Echivarre berkata, dia memang yakin dan percaya terhadap Islam dan gembira niatnya dipermudahkan oleh Allah.

"Kini, saya sebagai muslim dan beragama Islam, semakin belajar erti reda dan sabar yang sebenarnya iaitu kekayaan dan kesusahan dihadapi adalah dugaan. Yang penting, saya dapat ketenangan diri dan sentiasa cuba menjadi Muslim lebih baik," katanya

Pengacara TV, Mat Dan

"Saya datang Malaysia pada 2009 dan pernah tinggal seorang diri di Pulau Kapas, Terengganu. Tapi di pulau itu saya berkawan ramai dengan orang tempatan.

Bagaimanapun, apabila mereka balik dari tempat kerja ketika senja, saya selalu tengok kawan-kawan itu bersolat jemaah, duduk berzikir, bangun Subuh, jadi saya tertarik dengannya.

"Saya jadi nak tahu lebih lanjut berkaitan Islam sebab memang dalam fikiran kosong tak tau apa. Masa duduk di United Kingdom (UK) sebelum datang ke Malaysia, pengetahuan saya tentang Islam itu lebih ke arah negatif dan buruk," kata Mat Dan, 33.

Mat Dan atau nama Islamnya, Mohammad Kareef Daniel Abdullah berkata, dia memang percaya tiada mana-mana agama ajar perkara jahat, tapi apa yang ada adalah orang bersikap jahat dalam agama masing-masing.

'Macam saya sendiri, sejak dari kecil memang dah ada kepercayaan dalam hati ini bahawa 'ada sesuatu' pada kehidupan, tapi tak tahu apa ketika itu.

"Cuma, apabila datang ke Malaysia kira-kira 13 tahun dulu barulah saya dapat jawapannya. Alhamdulillah, saya dapat hidayah peluk Islam ketika umur 23 tahun dan sebelum itu saya tidak pernah puasa langsung," katanya.

Berbicara indahnya Islam, Mat Dan berkata, dia melihat ikatan ukhuwah silaturahim sesama muslim amat utuh. Macam kita mungkin rasa seorang diri, tapi sebenarnya ada ramai saudara lain seagama bersama kita.

"Malah, kalau kita rasa serabut, pening kepala sebab banyak fikir benda dan masalah, kita sebagai Muslim ini sebenarnya ada 'senjata hebat iaitu doa dan solat. Allah akan uji, tapi insya Allah kita boleh atasinya.

"Apapun, saya berterima kasih pada orang Malaysia yang berbudi dan baik hati bagi orang luar masuk serta melihat budaya beragama di negara ini. Saya yakin pada sesiapa yang tiada ilmu tentang Islam, tapi bila tengok contoh baik berkaitan Islam akan buka mata dan minda mereka melihat Islam yang betul," kata pemilik nama asal, Daniel James Tyler ini.

Penyanyi Stacy Anam

"Saya peluk Islam pada September 2015 dan tak dinafikan tahun pertama dan kedua masuk Islam itu, pemahaman dan mentaliti sentiasa berubah-ubah.

"Seiring masa berlalu dan matang, pada saya faktor pemahaman dan mentaliti inilah yang paling istimewa apabila dapat peluk Islam. Saya dapat belajar dan faham banyak perkara baru pada sepanjang masa dalam kehidupan ini," kata Stacy.

Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, 33, mengakui dia kini lebih peka dengan kehidupan dan alam yang berhubung kait dengan sesama makhluk.

"Saya baru lapan tahun memeluk Islam dan hingga kini masih dalam proses belajar lagi. Cuma, yang istimewanya dalam Islam ini apabila kita sabar dan bersangka baik.

"Secara tidak langsung, kita akan bantu mentaliti diri sebab dalam kehidupan ini yang paling penting adalah mentaliti sihat. Jadi, boleh dikatakan saya kini lebih banyak ke arah positif," katanya.

Stacy atau nama asalnya, Stracie Angie Anam berkata, dia bersyukur dalam hidupnya didampingi suami, penyanyi Akim Ahmad yang sentiasa tenang dalam memberikan sokongan.

"Dia (Akim) tak banyak memaksa saya, tapi dia juga tidak pernah lupa tanggungjawab membimbing saya. Dalam satu hari, mesti sentiasa ada peringatan dan nasihat daripada dia untuk saya memahami dengan ikhlas.

"Malah, yang penting baginya agar saya tak menyalahkan orang lain dengan keputusan dibuat. Jadi, saya sebenarnya setiap hari masih lagi belajar dan memahami tentang Islam.

"Apapun, sejak bergelar Muslim saya lebih sayangkan diri, maksudnya saya nakkan kehidupan saya ini, saya faham apa yang saya sudah lukis untuknya. Apa yang saya pilih, termasuk apa yang saya buat dalam keputusan.

"Akim setia menemani saya dalam cara hidup Islam. Dia banyak ingatkan saya, tapi untuk memahami dan mempelajari, semuanya datang dari diri saya sendiri. Yang baik itu semuanya datang dari Allah dan yang buruk daripada saya," katanya.

Stacy juga bersyukur kerana ibu bapa dan semua ahli keluarganya menerima baik keputusan dan tindakan dibuat untuk memeluk Islam sebelum ini, apatah lagi, mereka melihat dia sekarang banyak berubah, lebih matang dan tenang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 1:00 PM