AHMAD Fauzan teringin jumpa Ustaz Ebit Lew dan Ustaz Azhar Idrus selepas memeluk Islam. FOTO Ihsan Zah Mohamad
AHMAD Fauzan teringin jumpa Ustaz Ebit Lew dan Ustaz Azhar Idrus selepas memeluk Islam. FOTO Ihsan Zah Mohamad
Malik Muhamad


"JIKA ada peluang walaupun sekejap, saya teringin sangat nak jumpa dengan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew dan Ustaz Azhar Idrus, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini,"

Begitu kata Woo Sheng Xiang atau nama Islamnya, Ahmad Fauzan Woo Abdullah yang baharu memeluk Islam sejak lebih sebulan lalu.

Pemuda berbangsa Cina yang lebih mesra dipanggil Mad berkata, sejak memeluk Islam pada 24 Mac lalu di Pejabat Agama Marang, hatinya semakin dekat untuk berjumpa dengan dua pendakwah tersohor itu.

"Sejak sebulan lalu saya sokmo (kerap) berdoa agar suatu hari nanti dapat bersemuka dengan dua tokoh yang saya kagumi ini.

"Ini kerana sebelum saya memeluk Islam, saya sokmo mendengar ceramah pendakwah ini menerusi YouTube.

"Pendekatan dakwahnya bersahaja tapi memberi kesan yang cukup mendalam dalam diri saya kerana mudah difahami, saya harap beliau dapat memenuhi permintaan saya ini," ujar bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Kuala Terengganu.

Semalam akhbar ini melaporkan Mad yang kini bekerja sebagai jurulatih juruselam di Pulau Redang terharu kerana dipilih oleh Allah SWT untuk memeluk Islam ketika berusia 19 tahun.

Anak sulung daripada tiga beradik itu mendapat hidayah selepas kerap kali bermimpi mendengar suara bacaan al-Quran selain dia sendiri bermimpi mengaji ketika berusia 16 tahun sebelum mengambil keputusan untuk memeluk Islam.

Bekas penyerang pasukan kelab, Terengganu City Football Club (TCFC) itu berkata, tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bagaikan memberi makna yang mendalam buat dirinya untuk membuat keputusan terbaik apatah lagi hasratnya itu mendapat restu keluarganya.

"Saya berdoa dan berharap menjadi muslim yang taat kepada perintah Allah," ujarnya yang kini tinggal dengan bapa, dua adik, nenek dan ibu saudara di Kampung Tiruk Kuala Terengganu selepas kematian ibunya sejak dia berusia lapan tahun.

Sementara itu bekas pengetua SMK Padang Midin, Zah Mohamad berkata, Mad seorang murid yang rajin dan mendengar kata serta suka membantu guru.

"Saya berdoa agar Mad menjadi muslim yang sejati walaupun kini dia dalam proses mendalami ilmu agama," kata Zah ketika ditemui.

Berita berkaitan:

  • Mimpi mengaji buka hati peluk Islam
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 11:10 AM