Shahriza Mahmud
Shahriza Mahmud
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon Shahriza Mahmud, 56, mengambil keputusan untuk menutup warung makanan yang diusahakan di Bukit Tinggi, Pahang dan bercadang mencari lokasi lain yang lebih sesuai.

   Ia berikutan masalah yang berlaku di lokasi sekarang antaranya sering berdepan ribut kuat serta gangguan daripada individu mabuk yang membahayakan nyawanya dan suami, Saddiq Raffali. 

   "Kami tengah cuba dapatkan lokasi tapak niaga dekat rumah kalau ada rezeki. Memang kena keluar dari restoran Cina sekarang ini. Kawan-kawan Melayu tak nak datang, kaum Cina pula kurang sokong.

   "Tempahan dari 'grabfood' pun datangnya dari pelancong di Genting Highland. Kami memang harapkan 'grabfood' boleh bantu bisnes kami. Tapi kadangkala tiada 'rider' (penghantar makanan), dan pelanggan batalkan tempahan. 

   "Pelanggan  'walk in'  juga tiada dan buatkan pendapatan kami kurang. Lokasi ini pun amat gelap waktu malam dan memang tiada orang. Manakala, ribut pula berlaku tak tentu masa. 

   "Hampir setiap hari, kalau tak hujan pun angin kuat. Kami beli khemah yang paling kuat, tapi tetap rosak. Malah, barangan berniaga pun habis rosak dan terpaksa dibuang. Disebabkan nak sewa murah, begitulah jadinya," katanya kepada Harian Metro.

   Shahriza yang popular menerusi drama siri Spektra dan Pendekar sekitar era 1990-an berkata, dia sudah menghubungi pemilik tapak berniaga sekarang memberitahu hasratnya itu.

   "Dia faham keadaan kami. Kalau tak keluar pun tetap kena bayar sewa juga. Jadi sehari dua ini kami kemas barang, keluar dulu sementara cari duit dan tempat baru.

   "Kelmarin, saya pergi tengok tapak dekat sekitar sini. Di situ ada kedai runcit, ada bengkel, ada oranglah sikit, tapi tuan tanah nak bincang adik beradik dulu," katanya. 

   Terdahulu Harian Metro sebelum ini melaporkan kehidupan Shahriza semakin sukar sejak dijangkiti kencing tikus pada 1 Januari tahun lalu sehingga menyebabkan dia tidak berupaya untuk berjalan seperti dulu.

   Shahriza dan suaminya kini berdepan ujian untuk mencari rezeki bagi menyara kehidupan serta membiayai kos rawatan penyakitnya yang agak mahal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 12:51 PM