Alif Satar (kiri) dan Siti Nordiana akan adakan persembahan di Singapura pada 31 Ogos. FOTO SALHANI IBRAHIM
Alif Satar (kiri) dan Siti Nordiana akan adakan persembahan di Singapura pada 31 Ogos. FOTO SALHANI IBRAHIM
Najiy Jefri


SELEPAS mencipta fenomena menerusi drama Dia Semanis Honey, pelakon Alif Satar dengan Siti Nordiana bakal muncul dengan single duet, Sebenarnya.

Menurut Alif, karya ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan, Ezra Kong dan Romeo itu turut dipilih sebagai lagu tema drama rantaian terbaru lakonan mereka, Pengantin Musim Salju.

"Selepas bergandingan dalam drama bersiri dan muzikal, kini kami bergandingan dalam sebuah lagu duet pula. Lagu ini baru sahaja dirakamkan beberapa minggu lalu.

“Lagu ini adalah kolaborasi istimewa kami dan dijadikan hadiah kepada peminat setia yang menyokong gandingan kami semenjak drama bersiri Dia Semanis Honey,” katanya.

Menurut Alif, ini adalah kerjasama kedua dengan Faizal selepas lagu Sesungguhnya Aku.

“Saya masih ingat setahun lalu, selepas saya merakamkan lagu Sesungguhnya Aku, Faizal berkata Nana ada menyuarakan hasrat meminta lagu duet untuk kami.

“Akhirnya, kami dapat merealisasikan kerjasama ini. Lagu ini juga bakal kami persembahkan sempena konsert sulung kami bersama di Singapura pada Ogos depan,”katanya.

Sementara itu, konset ‘Just Us - Alif Satar & Siti Nordiana’ Live in Singapore akan berlangsung di Shine Auditorium, Shaw Tower, Singapura, pada 31 Ogos depan.

Tiket menyaksikan persembahan dua artis popular terbabit boleh didapati dengan melayari www.rosevalley.sg.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 1:57 PM