(Gambar kiri) Nurul Ashiqin membantu perniagaan katering ibunya. (Gambar kanan) NURUL Ashiqin turut mengusahakan zoo mini bergerak sebagai pekerjaan tambahan.
(Gambar kiri) Nurul Ashiqin membantu perniagaan katering ibunya. (Gambar kanan) NURUL Ashiqin turut mengusahakan zoo mini bergerak sebagai pekerjaan tambahan.
Oleh Nurul Husna Mahmud dan Noor Hidayah Tanzizi


Satu kerja tak cukup belanja sebulan

Kuala Lumpur: Saban hari bermula 10 malam, bapa dua anak ini akan memulakan tugas ketiganya sebagai pemandu e-hailing sekitar bandar raya ini selepas menguruskan rumah, urusan perniagaan dan jualan dalam talian pada sebelah siang.

Tarmizie Mohd Nor, 35, menetap di Puncak Jalil, di sini, melakukan tiga kerja untuk kelangsungan hidup bersama isteri, Hikmah Sharif, 35, dan dua anak masing-masing seorang lelaki dan perempuan berusia lima dan lapan tahun.

Rutin lelaki itu boleh dikatakan menggunakan sepenuh masa apabila bermula jam 10 malam dia berkerja sebagai pemandu e-hailing sehingga jam 7 pagi sebelum segera pulang ke rumah untuk menghantar anak ke sekolah.

Tarmizie kemudian pulang ke rumah untuk berehat sejam hingga dua jam sebelum menguruskan rumah sementara isterinya, Hikmah keluar berkerja sambil menguruskan urusan dokumentasi perniagaan kecil membaiki rumah.

Selepas itu, dia akan keluar semula untuk mengambil anak pulang dari sekolah dan menguruskan jualan dalam talian sebelum berehat serta meluangkan masa bersama keluarga termasuk mengajar dua anaknya mengaji kemudian berehat sementara sebelum keluar menghantar pelanggan.

Tarmizie berkata, perniagaan membaiki rumah secara kecil-kecilan diusahakan sejak lebih tiga tahun lalu bersama seorang pembantu, namun dia mengakui perniagaannya itu berjalan perlahan hingga memaksanya melakukan kerja tambahan lain.

Menurutnya, isterinya yang berkerja sebagai pegawai makmal swasta juga melakukan kerja sampingan sebagai ejen insurans untuk menambah pendapatan keluarga sekali gus meringankan bebannya.

"Sebelum ini saya berkerja tetap dan makan gaji, namun terpaksa berhenti atas beberapa faktor. Perniagaan memang sudah lama dilakukan dengan bantuan seorang pekerja tetapi dalam situasi ekonomi ketika itu kami kurang dapat kerja.

"Saya ambil keputusan buat kerja lain sebagai sampingan dan hanya uruskan hal dokumentasi saja dan kerja pembaikan dilakukan seorang pekerja. Saya buat e-hailing dan berniaga dalam talian sejak hampir tiga tahun lalu," katanya.

Katanya, semua itu dilakukan demi kelangsungan hidup mereka selain komitmen bulanan kerana kos hidup ketika ini terutama di Lembah Klang sangat tinggi apatah dalam situasi kenaikan beberapa harga barang sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun katanya, pendapatan e-hailing ketika ini tidak sama seperti sebelum ini, malah dia terasa kadang-kadang dengan melakukan tiga kerja masih tidak mencukupi, malah untuk menyimpan wang kecemasan juga agak sukar.

"Selepas terpaksa berhenti kerja yang agak selesa, saya pernah cari kerja lain tetapi hanya bertahan beberapa bulan saja, malah gaji bulanan juga tidak mencukupi dan nak buat kerja sampingan lain masa sudah terikat jadi agak sukar.

"Sekarang ini bolehlah lepas komitmen bulanan dan kehidupan sederhana saja cuma nak berjalan macam dulu tak boleh, perlu berjimat cermat dan walaupun hanya ada dua anak setakat ini tetapi masih ada banyak kos perlu ditanggung.

"Nak tak nak memang kena buat dua tiga kerja kerana situasi sekarang sangat mencabar termasuk kos sara hidup juga tinggi tetapi sekurang-kurangnya walaupun penat buat tiga kerja dan kehidupan tidak mewah tetapi saya bersyukur masih ada peluang menguruskan anak termasuk mengajar mereka mengaji sebelum keluar berkerja di sebelah malam," katanya.

TARMIZIE buat tiga kerja untuk kelangsungan hidup di kota.
TARMIZIE buat tiga kerja untuk kelangsungan hidup di kota.

Hilang masa bersama keluarga demi keperluan

Perubahan ekonomi global dengan peningkatan kadar inflasi, penurunan nilai mata wang, kenaikan kadar faedah dan gangguan kepada jaringan bekalan nilai memberi impak kepada perbelanjaan isi rumah rakyat Malaysia yang berterusan sejak awal pandemik Covid-19 pada awal 2020.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, penurunan pendapatan isi rumah amat terasa ketika itu namun mulai pulih sedikit demi sedikit.

Menurutnya, justeru tidak hairanlah suami isteri bekerja sampingan mencari pendapatan lebih untuk keluarga dan ia sudah menjadi lumrah serta kebiasaan terutama kepada keluarga di bandaraya yang lebih tinggi kos sara hidup.

"Ramai ketua keluarga membuat dua kerja iaitu kerja sepenuh masa ditambah kerja separuh masa selepas waktu bekerja sama ada pemandu e-hailing, penghantar makanan dan berniaga atas talian atau di pasar malam atau pasar minggu.

"Begitu juga dengan remaja dan mereka tamat persekolahan turut bersama mencari rezeki untuk keluarga terutama dalam kalangan isi rumah B40 dan M40," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini.

Beliau berkata, pastinya dalam cabaran mencari rezeki tambahan, beberapa perkara tidak diberi perhatian antaranya kualiti masa bersama keluarga berkurangan.

"Aspek hubungan sosial dengan jiran sekeliling mungkin terabai dan turut membimbangkan pendidikan serta penjagaan anak diletakkan kepada penjaga dan sekolah saja.

"Bagaimanapun inilah alaf baru di mana perubahan persekitaran tidak dapat dielakkan, malah terpaksa menyesuaikan diri untuk terus memberikan kebahagiaan kepada keluarga," katanya.

Dah biasa 'layan' empat kerja dalam satu masa

Banting: Bukan satu sebaliknya Nurul Ashiqin Quratulain Ismail Azmi, 22, melakukan hingga empat pekerjaan dalam satu masa.

Menurut pemegang Diploma Perniagaan Kolej Vokasional Banting itu, dia bekerja sepenuh dengan syarikat pembinaan tempatan namun masih melakukan tiga pekerjaan tambahan.

"Saya tidak rasa tiga atau empat pekerjaan dilakukan memberi bebanan kerana sudah terbiasa.

"Malah saya sudah biasa mencari duit poket sendiri sejak usia lima tahun apabila mengikut ibu bapa berniaga di pasar malam.

"Ia adalah sebahagian didikan orang tua agar berdikari untuk memiliki barang yang diingini.

"Berkat duit saya bekerja keras selain menabung, saya dapat beli skuter secara tunai ketika usia 16 tahun," katanya.

Selain satu kerja tetap, Nurul Ashiqin juga membantu perniagaan katering ibunya, mengusahakan zoo mini bergerak sendiri dan kru acara.

"Saya tetapkan sasaran setiap kali saya bekerja keras. Saya ada fokus setiap kali saya melakukan kerja tambahan.

"Tahun ini saya berjaya menghadiahkan ibu, Noraziah Samudi, 47, sebuah kereta yang dibeli secara tunai.

"Saya rasa gembira dapat menggembirakan ibu meskipun kereta itu kereta terpakai tetapi bermakna kerana van selama ini digunakan keluarga mengalami kerosakan," katanya.

Nurul Ashiqin berkata, dia memiliki impian untuk membeli rumah dan ada zoo mini.

"Niat utama saya ialah mahu membantu keluarga dan saya anak sulung berasa ada tanggungjawab itu.

"Lihat orang tua bersusah payah membesarkan saya bersama tiga adik-beradik lain membuatkan saya berasa perlu kerja keras seperti mereka.

"Saya lakukan perkara yang saya sukai dan berharap berkat rezeki bekerja ketika usia muda, saya dapat mengecapi impian untuk ada rumah dan zoo mini sendiri," katanya.

Nurul Ashiqin berkata, rakannya juga mempunyai fikiran sama iaitu lebih suka mengisi masa lapang dengan bekerja berbanding melepak.

"Saya juga ada masa bersosial tetapi terhad dan berjadual kerana kawan saya juga memiliki persamaan iaitu membantu perniagaan masing-masing.

"Kami sering berkongsi perancangan termasuklah cara menambah pendapatan agar dapat mencapai cita-cita masing-masing," katanya.

Kesanggupan bergantung kepada upaya, minat

Melakukan lebih daripada satu kerja tambahan boleh memberi kesan positif dan negatif kepada seseorang individu.

Pegawai Psikologi Kanan, Seksyen Kaunseling Pekerja, Bahagian Kaunseling, Universiti Putra Malaysia (UPM), Kamariah Derasol berkata, implikasi daripada memiliki lebih daripada satu kerja tambahan bergantung kepada keupayaan dan minat selain kepuasan diperoleh hasil daripada pekerjaan itu.

"Terdapat kesan positif dan negatif apabila individu melakukan pekerjaan tambahan. Kesan positif selalunya berkait dengan peningkatan kesejahteraan emosi.

"Apabila mereka berjaya mencapai sasaran kerja, mereka dapat meningkatkan keyakinan diri.

"Senario saya dapat gambarkan apabila pengamal undang-undang memiliki minat dalam bidang lain seperti masakan atau perniagaan dan dia berjaya.

"Keyakinan diri meningkat sekali gus membentuk sokongan positif terutama dari segi emosi," katanya.

Bagaimanapun implikasinya berbeza terhadap individu yang terpaksa bekerja bagi mencukupkan keperluan mendesak.

"Dalam kes berlainan apabila individu menceburi dua pekerjaan atau kerja tambahan tanpa persiapan fizikal, mental dan emosi serta melakukannya kerana tidak mempunyai pilihan demi meneruskan ikhtiar hidup, kesan negatif akan terpalit kepadanya.

"Golongan ini akan mengalami tekanan perasaan dan kebimbangan. Mereka tidak dapat membahagikan masanya dengan baik, menjalankan peranan dalam kehidupan dan berlaku konflik di tempat kerja hakiki," katanya.

Kamariah berkata, ia turut menjejaskan kesihatan fizikal dan sosial individu jika gagal mencapai keseimbangan dalam melakukan lebih daripada satu pekerjaan tambahan.

"Tekanan berterusan memberi kesan buruk pada kesihatan fizikal, seperti sistem imun yang lemah, tidur terganggu, dan masalah kesihatan lain.

"Ia juga boleh mengganggu hubungan sosial atau di tempat kerja sehingga individu itu mengalami isolasi sosial, perasaan terpinggir, dan hubungan interpersonal merudum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 12:01 PM