Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: Sebut sahaja kuih penganang pak katak pasti penggemar kuih tradisional itu sudah sedia maklum di mana lokasi makanan berasaskan telur atau kacang itu dijual di Bazar Ramadan Pasar Batu Enam di sini.

Gerai kuih-muih Samsiah Shafie, 61, sudah tidak asing lagi dalam kalangan penduduk setempat selain penggemarnya di negeri itu.

Mengekalkan rasa dan ciri-ciri makanan tradisional yang diwarisi sejak turun- temurun menjadikan kuih penganang pak katak mampu terjual hingga 150 biji sehari pada Ramadan.

Uniknya gerai kuih muih Samsiah yang kini turut dibantu dua anak kembarnya, Alia Nabila 18, dan Faiqah Dayana Nordin, 18, ialah kerana ia beroperasi seawal jam 9 pagi hingga 7 malam setiap hari.

Nabila berkata, lebih 10 gerai kuih-muih di pasar dan bazar itu memulakan perniagaan seawal jam 9 pagi pada setiap hari serta ia sudah menjadi tradisi peniaga di situ sejak dulu lagi.

"Bukan soal kami melanggar peraturan perniagaan ditetapkan pada Ramadan, tetapi tradisi menjual kuih-muih di situ seawal jam 9 pagi sudah dijalankan secara turun temurun.

"Pelanggan kami bukan hanya penduduk setempat, tetapi juga penduduk di daerah lain yang datang ke sini semata-mata untuk membeli kuih-muih tradisional.

"Jika kami bermula lewat, pasti kuih-muih tidak habis terjual, malah pelanggan dari jauh juga tidak boleh membelinya maklumlah segelintir mereka bekerja di kawasan Kuala Nerus dan ketika dalam perjalanan pulang mereka singgah untuk membeli kuih," katanya.

Dia seronok berniaga pada Ramadan kerana jualan meningkat dua hingga tiga kali ganda berbanding pada hari biasa.

ALIA Nabila (kiri) dan Faiqah Dayana  menjual pelbagai kuih  di Bazar Ramadan Pasar Batu Enam. Gerai kuih-muih Samsiah sudah tidak asing lagi dalam kalangan penduduk setempat. FOTO Ghazali Kori
ALIA Nabila (kiri) dan Faiqah Dayana menjual pelbagai kuih di Bazar Ramadan Pasar Batu Enam. Gerai kuih-muih Samsiah sudah tidak asing lagi dalam kalangan penduduk setempat. FOTO Ghazali Kori

"Walaupun baru awal Ramadan namun jualan memberangsangkan dan dijangka jumlah jualan semakin bertambah pada hari-hari seterusnya," katanya.

Sementara itu, pelanggan, Mohd Najib Ghazali, 40, dari Kampung Banggol Air Lilih berkata, dia gemar ke Bazar Ramadan Pasar Batu Enam kerana mempunyai banyak gerai kuih-muih tradisional.

"Makanan tradisional yang dijual di bazar itu masih mengekalkan ciri-ciri dan identiti tradisional daripada sudut rasa.

"Kuih yang dijual di bazar itu diyakini 90 peratus disediakan oleh orang lama yang berpengalaman dan mahir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 12:54 PM