GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
Rohaniza Idris dan Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Tempoh 14 hari berkempen yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri disifatkan sebagai sesuai sejajar suhu politik semasa.

Disamping itu, pemerhati politik berpandangan negara yang tidak lagi terikat suasana pandemik Covid-19 yang tidak lekang dengan pengenalan pelbagai sekatan pergerakan, sekali gus merasakan jangka masa itu memadai untuk parti politik berkempen dan mendekati pengundi

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, berkata tempoh 14 hari berkempen yang ditetapkan SPR sangat wajar jika mengambil kira suhu politik pada masa ini.

Beliau berpandangan parti politik kini sudah pun memulakan kempen masing-masing melalui perjumpaan, perhimpunan dan ceramah melalui siri jelajah ke seluruh negara walaupun tarikh sebenar penamaan calon pada 29 Julai ini.

"Pada pendapat saya ia sangat wajar berasaskan suhu politik negara sekarang apabila semua parti politik sudah pun mula berkempen walaupun belum hari penamaan calon yang rasmi 29 Julai ini.

"Kita dapat lihat bendera parti politik sudah berselerak digantung di enam negeri yang akan terbabit PRN, malah sudah ada sesi ceramah, perhimpunan melalui permit politik," katanya kepada BH hari ini.

Mengulas tempoh 14 hari berkempen itu, katanya, tempoh paling minimum untuk berkempen adalah 11 hari seperti yang ditetapkan dalam peraturan perjalanan pilihan raya.

Justeru, katanya, tambah 14 hari sangat logik dan bersesuaian dengan hari mengundi ditetapkan pada Sabtu dengan mengambil kira lokasi pengundian banyak dilakukan di sekolah.

"Saya percaya parti politik juga akan memberikan reaksi positif dengan penetapan tarikh itu, malah tempoh dua minggu ini juga dilaksanakan untuk PRN di Sabah, Melaka dan Johor," katanya.

Mengulas kurangnya kritikan atau rungutan parti politik terhadap SPR sejak kebelakangan ini dalam melaksanakan PRN mahu pun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, katanya, itu satu petanda yang baik dan mencerminkan parti politik kini semakin matang.

"Jelas, parti politik menunjukkan kematangan mereka dan menghala tohmahan yang tidak berfakta kepada SPR seperti sebelum ini,

"Jika dulu parti politik kurang matang kerana mereka tidak meneliti segala aspek dan selok belok peraturan SPR kerana sibuk menjaga kepentingan politik masing-masing menyebabkan apabila mereka kecewa dalam pilihan raya, mereka menyalahkan SPR dengan tuduhan wujud pengundi hantu, SPR berat sebelah dan tidak efisien," katanya.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis, senada apabila berpandangan bekalan masa dua minggu berkempen adalah tempoh yang memadai negara tidak lagi di 'terperuk' dalam fasa pandemik.

Walaupun sebelum pengumuman SPR ada parti politik lebih awal 'berkempen', beliau berharap tempoh itu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan mengetengahkan 'bahan kempen' yang tidak menyentuh isu sensitif seperti isu 3R, yang merujuk Agama, Bangsa dan Raja sebagai modal politik.

Justeru, beliau mengesyorkan supaya pentas PRN di enam negeri ini seharusnya dijadikan medan perbandingan prestasi dan dasar.

"Ya sebab itu kita lihat tempoh berkempen 14 hari mencukupi kerana semua pihak sudah pun berkempen secara tidak rasmi sebelum tarikh diumumkan baik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti pembangkang

"Dua minggu itu perlu digunakan bagi menerangkan pencapaian, perancangan, tawaran dan dasar masa hadapan setiap parti sekiranya memerintah. Paling penting semua pihak perlu menghormati undang-undang dengan tidak memainkan isu sensitif sehingga boleh menimbulkan keresahan serta mengundang kemarahan umum.

"Jadi hal berkenaan memerlukan pemantauan dan penguatkuasaan semua pihak berwajib yang bertanggungjawab terhadap pilihan raya, memandangkan isu 3R menjadi perhatian semua pihak hingga ditegur institusi beraja, " ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 2:16 PM