DATUK Seri Azalina Othman Said. FOTO Danial Saad
DATUK Seri Azalina Othman Said. FOTO Danial Saad
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip supaya Akta Hasutan 1948 (Akta 15) disemak bagi memastikan ia digunakan hanya untuk melindungi Institusi Raja-Raja daripada sebarang provokasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata aspek lain berkenaan provokasi membabitkan agama dan bangsa akan turut diteliti termasuk penggubalan perundangan baharu jika perlu.

Katanya, ia penting mengenai keharmonian dan perpaduan negara dengan mengambil kira pandangan Institusi Raja-Raja sebagai ketua agama Islam dan amalan serta prinsip terbaik antarabangsa.

"Hari ini, saya membentangkan kepada Jemaah Menteri hasil Dialog Perundangan 3R yang diadakan pada 21 Julai 2023 dalam menangani isu provokasi yang membabitkan agama bangsa dan Institusi Raja-Raja (3R) yang dihadiri wakil wakil kementerian dan jabatan termasuk Kementerian Perpaduan Negara, badan peguam, Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta ahli akademi.

"Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip supaya Akta Hasutan 1948 disemak dengan sewajarnya bagi memastikan perundangan ini digunakan hanya untuk melindungi Institusi Raja-Raja daripada sebarang provokasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) akan mengambil langkah sewajarnya dalam menyemak secara terperinci akta berkenaan.

Katanya, ia bagi memastikan cadangan pindaan yang bakal dicadangkan adalah untuk bertujuan untuk melindungi Institusi Raja-Raja secara holistik.

Azalina sebelum ini dilaporkan berkata, hasil perbincangan bersama beberapa agensi termasuk NGO berhubung perundangan berkaitan isu 3R akan dibentang ke mesyuarat Kabinet.

Ia bagi membolehkan Jemaah Menteri menilai sama ada undang-undang sedia ada mencukupi atau perlu ditambah baik, sekali gus mengekang penggunaan isu terbabit terutama sebagai senjata politik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 6:05 PM