MOHD Sabri mengesan logam di kawasan sungai dan ladang kelapa sawit bagi mengisi masa lapang. FOTO Ihsan Mohd Sabri Abd Rahman
MOHD Sabri mengesan logam di kawasan sungai dan ladang kelapa sawit bagi mengisi masa lapang. FOTO Ihsan Mohd Sabri Abd Rahman
Muhaamaad Razis Ismail

Kuala Lumpur: Hobi disifatkan unik di negara ini apabila wujud segelintir individu giat menjejaki serta menyelamatkan objek tinggalan sejarah silam menggunakan alat pengesan logam (metal detector).

Aktiviti menyerupai golongan arkeologi ini membabitkan usaha mengesan barang logam seperti perhiasan, syiling, peluru dan pelbagai artifak yang terkubur di bawah permukaan tanah.

Peminat tegar aktiviti itu, Mohd Sabri Abd Rahman, 56, berkata, alat pengesan logam digunakan itu berfungsi mengesan kewujudan logam dalam tanah menggunakan arus medan elektromagnetik.

"Kami bukan perosak tinggalan sejarah sebaliknya aktiviti ini (mengesan logam) dijalankan bertujuan menyelamatkan khazanah silam yang tertanam dalam tanah sejak berabad lamanya," katanya.

Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Janggut berkata, salah tanggapan terhadap aktiviti itu menyebabkan dia pernah dilabelkan sebagai 'orang gila' kerana seolah-olah dilihat mencari besi buruk.

"Sebagai pencinta sejarah, saya tidak akan sewenang-wenangnya merosakkan barang lama yang mempunyai nilai sejarah kepada negara.

"Barangan atau artifak yang ditemui biasanya membabitkan duit syiling lama, perhiasan atau pinggan mangkuk berusia ratusan lamanya.

"Hakikatnya kami tidak mengubah landskap sejarah negara ini. Kami sebaliknya menyelamatkan khazanah silam ini. Bukan itu sahaja, ada objek ditemui turut diserahkan kepada muzium setempat untuk dipamerkan sebagai tatapan generasi akan datang," katanya.

ANTARA duit syiling yang ditemui Mohd Sabri. FOTO Ihsan Mohd Sabri Abd Rahman
ANTARA duit syiling yang ditemui Mohd Sabri. FOTO Ihsan Mohd Sabri Abd Rahman

Bapa kepada 10 anak ini mula aktif menjalankan aktiviti 'memburu' barangan lama ini secara suka-suka sejak 2013.

"Namun, saya bergiat secara sepenuh masa sejak dua tahun lalu. Sepanjang terbabit dalam bidang itu, saya berjaya menemui pelbagai duit syiling lama termasuk daripada zaman Kesultanan Melayu lama, tinggalan zaman penjajah, seramik, kerongsang, botol dan sebagainya.

"Imbasan alat pengesan logam digunakan mampu mengesan besi dan logam yang berada pada kedalaman tanah sehingga 0.91 meter," katanya.

Mohd Sabri berkata, pembabitannya dalam aktiviti mengesan logam lama bermula dengan hobi mengumpul barangan lama terutama duit syiling.

"Oleh kerana hobi (mengumpul barang lama) memerlukan modal besar selain terdedah dengan risiko ditipu, saya mula berjinak-jinak dengan aktiviti mengesan logam.

"Idea ini tercetus apabila saya menonton di saluran YouTube sebelum membuat keputusan untuk membeli alat pengesan logam dan mencari sendiri.

"Bermula suka-suka untuk mengisi masa lapang, saya mula seronok apabila memperoleh duit syiling lama dengan hasil titik peluh sendiri. Selepas beberapa tahun, saya mengambil keputusan untuk menjalankan aktiviti ini secara sepenuh masa," katanya.

Menurutnya, kebiasaannya aktiviti mengesan logam menggunakan alat pengesan logam dilakukan selama empat jam setiap hari di ladang sawit dengan kebenaran pemiliknya di sekitar Perak.

"Lokasi pencarian turut tertumpu di sungai berikutan sungai kerap menjadi laluan utama pengangkutan ketika zaman silam. Malah, ada antara kawasan pinggir sungai menjadi pusat pentadbiran, pelabuhan dan pusat perniagaan.

"Selain itu, saya akan mencari serpihan seramik di permukaan tanah dan kulit kerang sebagai petunjuk kawasan itu pernah menjadi kawasan penempatan.

"Apabila salah satu tanda ini ditemui, kebarangkalian untuk menemui syiling lama adalah tinggi. Biasanya apabila terjumpa 'lubuk', kita akan jumpa lebih banyak di kawasan berhampiran," katanya.

ANTARA barangan lama yang ditemui Mohd Sabri. FOTO Ihsan Mohd Sabri Abd Rahman
ANTARA barangan lama yang ditemui Mohd Sabri. FOTO Ihsan Mohd Sabri Abd Rahman

Jelasnya, hobi ini bukan sahaja baik untuk kesihatan, malah dapat mengerat hubungan dalam kalangan peminat aktiviti sama.

"Kami mempunyai komuniti membabitkan pelbagai lapisan masyarakat dalam dan luar negara yang berkongsi minat sama," katanya.

Biarpun sudah lama berkecimpung dalam bidang ini, dia mengakui pernah beberapa kali pulang dengan tangan kosong.

"Aktiviti ini seperti memancing dan bergantung juga kepada nasib kerana hasilnya tidak boleh dijangka.

"Bukan mudah untuk mencari sesuatu yang tidak kelihatan. Bagaimanapun, saya sentiasa percaya pada rezeki," katanya.

Katanya, sepanjang terbabit dalam bidang ini, banyak cabaran yang ditempuhi termasuk pernah berdepan dengan ular, babi dan lebah serta cuaca yang tidak menentu.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia berhasrat ingin menghasilkan buku koleksi barang lamanya untuk dijadikan rujukan dan tatapan generasi akan datang.

Frekuensi tinggi cecah RM45,OOO

Terdapat pelbagai model alat pengesan logam (MD) dijual di pasaran hingga ada antaranya menyamai harga sebuah kereta sedan.

Pemilik premis menjual mesin dan alat pengesan logam, Fadzlee Hizam Ahmad berkata, harga mesin MD bermula sekitar RM1,250 dan mampu mencecah sehingga RM45,000 bergantung kepada fungsi, material serta kelebihannya.

"Alat MD yang kalis air dan mampu mengesan objek dalam air mempunyai harga yang tinggi. Sebagai contoh, MD model GPZ 7000 yang berharga RM45,000 mampu mengesan emas dan sesuai untuk pencarian di kawasan memiliki mineral tinggi.

"Malah, ada juga alat MD yang tidak kalis air, tetapi harganya mahal kerana dikhaskan untuk pencarian logam emas yang halus. Alat ini menggunakan frekuensi tinggi," katanya.

Katanya, harga mesin turut bergantung kepada pilihan frekuensi dan aksesori tambahan disediakan.

FADZLEE Hizam bersama alat pengesan logam.
FADZLEE Hizam bersama alat pengesan logam.

"Kebiasaannya mesin yang lebih mahal memiliki gelombang frekuensi yang tinggi seperti 20, 40 dan 45 kHz. Biarpun mempunyai gelombang frekuensi tinggi, ia tidak dapat mengesan objek yang terlalu dalam. Alat ini bagaimanapun mudah mengesan barangan emas yang kecil dan halus.

"Alat MD yang lebih murah, mempunyai frekuensi rendah iaitu di bawah 15 kHz. Namun, alat MD ini mampu mengesan objek lebih dalam. Bagaimanapun, mesin ini tidak sensitif kepada emas," katanya.

Dia berkata, mereka yang baru berjinak-jinak dengan hobi ini dinasihati membeli mesin mengikut kemampuan masing-masing.

"Buat kajian dahulu berkenaan aktiviti ini dan mesin MD yang bersesuaian dengan keperluan anda.

"Biasanya saya cadangkan kepada pelanggan yang baru terbabit dengan aktiviti ini supaya membeli model MD Xterra Pro. Ia boleh diperoleh pada harga mampu milik, kalis air dan lebih mudah dibawa," katanya.

Lesen lindungi khazanah negara

Aktiviti mengesan logam untuk mencari artifak atau objek warisan perlu mempunyai lesen dikeluarkan Pesuruhjaya Warisan bertujuan melindungi khazanah negara.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin berkata, mengikut Seksyen 86(1) Akta Warisan Kebangsaan 2005, tiada seorang pun boleh menggali mana-mana tanah bagi maksud menjumpai sesuatu objek melainkan memiliki lesen diberikan Pesuruhjaya Warisan.

"Mana-mana individu yang melanggar subseksyen (1) boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

MOHAMAD Muda. FOTO Asyraf Hamzah
MOHAMAD Muda. FOTO Asyraf Hamzah

Katanya, merujuk kepada Seksyen 47 dan 48 Akta Warisan Kebangsaan 2005, penemuan objek di sesuatu tapak yang dilakukan dengan kebenaran Pesuruhjaya Warisan perlu terus dilaporkan.

"Mana-mana individu yang menjumpai sebarang objek yang mempunyai warisan kebudayaan hendaklah memberitahu pesuruhjaya, mana-mana pegawai diberi kuasa atau pegawai daerah bagi daerah tempat objek itu dijumpai.

"Jika boleh dilaksanakan, individu terbabit hendaklah menghantar objek itu kepada pesuruhjaya, pegawai yang diberi kuasa atau pegawai daerah yang perlu memberikan pengakuterimaan bertulis mengenainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 8:00 AM