Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Lantaran perwatakan yang lembut dan tutur kata sopan, wujud segelintir individu yang tidak yakin kemampuan mereka untuk menjadi ketua keluarga selepas berumah tangga.

Bukan setakat itu, ada dalam kalangan golongan lelaki berperwatakan lembut terpaksa menelan sindiran yang meragui kemampuan mendapatkan zuriat.

Hakikatnya, ramai lelaki berperwatakan lembut berkahwin kerana masih ada naluri terhadap wanita, bahagia dengan pasangan dan dikurniakan anak.

Ikuti temu bual wartawan Harian Metro dengan dua lelaki berperwatakan lembut, Syed Muhammad Shah Hasif dan Abe Pink yang pernah dipandang sinis kerana berkahwin selain perkongsian Fatin Syazwani Ishak yang bahagia bersuamikan golongan berkenaan.

ABE Pink dan Syed Muhammad Shah Hasif pernah dipandang sinis kerana berkahwin. FOTO Facebook Abe Pink & Hazreen Mohamad
ABE Pink dan Syed Muhammad Shah Hasif pernah dipandang sinis kerana berkahwin. FOTO Facebook Abe Pink & Hazreen Mohamad

'Sotong' tak bermakna songsang

"Lembut tak bermakna songsang dan suka sesama jenis," kata usahawan produk kosmetik dikenali Abe Pink.

Abe Pink, 37, juga salah seorang pempengaruh yang mempunyai hampir 60,000 pengikut di TikTok dan mendapat perhatian kerana gelagat serta penampilannya yang nampak feminin.

Hakikatnya, Abe Pink sudah berumah tangga dan mempunyai empat anak dan seorang lagi bakal dilahirkan tidak lama lagi.

Dua anak hasil perkahwinan dengan bekas isteri dan dan selebihnya dengan isteri sekarang selepas berumah tangga pada Februari 2015.

Meskipun ada segelintir melabelkannya lelaki lembut, Abe Pink mengakui nalurinya masih cenderung kepada wanita dan kerana itu dia berkahwin walaupun dipersoalkan.

"Belum pernah ada yang mengata dan mencemuh saya secara terang-terangan di depan namun memang ada menyampaikan kepada saya.

"Ada yang beritahu isteri jika dapat suami seperti saya, sudah lama mereka tinggalkan tetapi dia jenis yang tak ambil pusing jadi anggap kata-kata sindiran diterima ibarat angin lalu saja," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

ABE PINK bersama isteri. FOTO Facebook Abe Pink
ABE PINK bersama isteri. FOTO Facebook Abe Pink

Abe Pink berkata, kegagalan perkahwinan pertama tidak membuatkannya serik kerana perlukan wanita untuk menjadi teman hidupnya.

"Saya dan isteri tak bercinta sebelum tetapi selepas kahwin. Kami berkenalan di aplikasi sembang dan agak mencabar untuk memikat isteri kerana dia garang serta sejenis susah nak senyum.

"Ajak bercinta pun dia (isteri) tak nak namun minta saya jumpa keluarganya jika nak serius. Oleh kerana sudah terpikat jadi saya hantar rombongan merisik dan meminang. Alhamdulillah, lamaran saya diterima dan bersyukur kerana diterima baik keluarga mentua walaupun saya begini," katanya yang teruja menyambut kelahiran zuriat kelima.

Menurut Abe Pink, isteri memahami sikap dan penampilannya yang sedikit ke arah feminin.

"Saya memang suka bersiap, kenakan solekan asas dan pakai baju ikut potongan badan namun tidak sampai keterlaluan serta lebih kepada penampilan luaran saja.

"Apa pun, saya sedar status diri sebagai ketua keluarga dan suami jadi suka bantu isteri ketika di rumah.

"Ini kerana saya tak nak dia (isteri) buat semua seorang diri jadi apabila ada kelapangan, saya akan tolong kemas rumah, lipat baju dan sapu sampah," katanya.

ABE PINK bina kehidupan bahagia bersama isteri dan anak di sebalik tanggapan negatif yang sering dilemparkan. FOTO Facebook Abe Pink
ABE PINK bina kehidupan bahagia bersama isteri dan anak di sebalik tanggapan negatif yang sering dilemparkan. FOTO Facebook Abe Pink

Abe Pink berkata, dia selesa dengan penampilannya dan akan terus menjadi dirinya serta tidak peduli dengan pandangan sinis dilemparkan terhadapnya.

"Saya tak kisah orang nak anggap macam mana dan nasihat kepada lelaki yang mungkin ada perwatakan seperti saya, teruskan niat jika ada hasrat untuk berkahwin.

"Jangan fikir semua perempuan sama kerana citarasa setiap orang berbeza kerana ada yang suka lelaki kurus, berisi atau mungkin lembut perwatakan serta tutur kata.

"Jika tak kahwin lagi mungkin kerana belum jumpa lagi pasangan tepat maka jangan putus asa serta bersangka baik saja," katanya.

'Hidup tak bersandar cakap orang'

Meskipun ada yang mempersoalkan pilihannya berkahwin dengan suami berperwatakan lembut, Fatin Syazwani Ishak tidak hiraukan kata-kata negatif dilemparkan terhadapnya.

Sebaliknya wanita berusia 25 tahun itu bahagia dikurniakan suami, Syed Muhammad Shah Hasif, 31, yang bukan sahaja penyayang malah melayan dirinya seperti seorang ratu.

Dek kerana terpikat dengan ketampanan, Fatin Syazwani yang memulakan langkah dengan mengurat suaminya dan percubaannya tidak sia-sia apabila akhirnya berumah tangga.

"Pertemuan pertama saya dan suami ditemani emak dan adik. Sebelum jumpa lagi saya suka lihat wajahnya yang kacak dan jatuh cinta selepas mendengar katanya yang lembut dan dengar caranya bersembang.

"Selepas pertemuan pertama itu, kami berkenalan dengan lebih rapat dan Alhamdulillah, keluarga beri restu untuk berumah tangga," katanya ketika ditemui Harian Metro di sebuah kafe di Bandar Baru Klang di Klang.

FATIN Syazwani (kiri) terima seadanya perwatakan lembut suami walaupun sering menjadi buah mulut orang sekeliling.  FOTO Hazreen Mohamad
FATIN Syazwani (kiri) terima seadanya perwatakan lembut suami walaupun sering menjadi buah mulut orang sekeliling. FOTO Hazreen Mohamad

Fatin Syazwani berkata, dia pernah mendengar ada individu yang mempertikaikannya keputusannya berkahwin dengan suami.

"Ada yang cakap belakang tentang suami dan mulanya sentap juga namun lama kelamaan saya abaikan saja. Lagipun, mulut orang tak boleh nak tutup," katanya.

Menurut Fatin Syazwani, perwatakan lembut suaminya itu sekadar penampilan luaran yang dilihat secara zahir.

"Apa yang penting, suami saya pandai bantu jaga anak, buat kerja rumah, hebat menjahit malah pandai serta rajin menyolek wajah saya.

"Mungkin daripada segi percakapan lembut hakikatnya suami masih lelaki sejati. Jadi, untuk wanita di luar sana, jangan takut jika berminat, nak mendekati dan menjalin hubungan dengan lelaki berperwatakan lembut.

"Tak kenal maka tak cinta jadi kenal mereka dahulu sebelum membuat penilaian. Macam saya sendiri bahagia saja dengan suami bersama dua anak kami malah tak kisah jika orang kata perigi cari timba kerana memang benar saya yang menguratnya dahulu," katanya.

'Kejantanan saya sentiasa dipersoal'

"Boleh ke buat anak?" Itu soalan berbaur sindiran diterima Syed Muhammad Shah Hasif Syed Othman ketika awal perkahwinan dengan isterinya, Fatin Syazwani Ishak hampir enam tahun lalu.

Soalan itu diajukan segelintir individu yang meragui 'kejantanannya' hanya kerana perwatakan Syed Muhammad Shah Hasif, 31, dan tutur katanya yang lembut berbanding lelaki normal.

Katanya, dia akui tersinggung pada awalnya namun kini sudah lali dan tidak terkesan dengan cemuhan dilemparkan terhadapnya.

Sebaliknya, dia dan isteri, Fatin Syazwani, 25, bahagia menjalani hidup dengan dua anak hasil perkahwinan mereka iaitu Syed Muhammad Nouis Jaeden El-Alawi, 4, serta Syarifah Haifa Urshia El-Zahrah yang kini berumur tujuh bulan.

"Sebenarnya sejak sekolah dan sampai ke hari ini, saya masih dilabel lelaki lembut dan gelaran yang seangkatan dengannya.

"Mereka yang tak kenal mungkin labelkan sebegitu kerana mendengar tutur kata saya yang sopan, tak ganas selain penampilan ditonjolkan di TikTok.

"Sedikit sebanyak sentap juga sebenarnya tapi saya tak layan sangat perasaan itu kerana fikir nak jaga pasangan. Jadi apa orang cakap saya terima saja baik negatif mahupun positif kerana sampai sudah ada anak pun orang cakap malah ada yang bertanya macam mana buat anak?" katanya ketika ditemui Harian Metro.

FATIN Syazwani dan Prince Syed ceria bersama anak mereka.  FOTO Facebook Fatin A Atin
FATIN Syazwani dan Prince Syed ceria bersama anak mereka. FOTO Facebook Fatin A Atin

Bercerita lanjut, Syed Muhammad Shah Hasif atau dikenali Prince Syed dalam kalangan pengikut di TikTok berkata, tempoh perkenalannya dengan isteri sangat singkat dan melalui fasa bercinta selepas berkahwin pada 30 November 2018.

Menurut Syed Muhammad Shah Hasif, perkahwinannya dengan isteri tidak mendapat tentangan sebaliknya direstui kedua belah keluarga.

"Kami sudah berkahwin hampir enam tahun dan sebelum berkahwin dengan isteri, saya ada mengenali beberapa wanita lain cuma setakat berkawan saja, mungkin bukan jodoh," katanya.

Katanya, meskipun sudah biasa lakukan kerja rumah, tugas memasak tetap dilakukan oleh isterinya.

"Walaupun tahu (memasak), saya tetap nak dia (isteri) masak kerana mahu rasa air tangannya dan boleh kira berapa kali saya bantu dia dalam setahun.

"Apabila hari raya pula, kami bahagikan tugas iaitu masak hidangan ikut kepakaran masing-masing. Cuma bab jahit baju raya serahkan kepada saya dan setiap kali keluar nak keluar rumah, saya solekan isteri melainkan hari saya tak sihat, dia buat sendiri ikut apa yang saya ajar," katanya.

PRINCE Syed ceria bersama anak mereka.  FOTO Facebook Fatin A Atin
PRINCE Syed ceria bersama anak mereka. FOTO Facebook Fatin A Atin

Syed Muhammad Shah Hasif bersyukur kerana dikurniakan isteri yang memahami dan menerima dirinya dengan seadanya.

"Walaupun saya berperwatakan begini, isteri tetap hormat saya dan tahu batasnya. Jadi, untuk lelaki di luar sana yang berperwatakan sama seperti saya, tak perlu takut untuk berkenalan dengan wanita dan berkahwin sebab kita yang menjalani serta mencorakkan kehidupan.

"Ini kerana kehidupan rumah tangga sangat indah dan seronok kerana ada teman untuk berkongsi cerita juga anak sebagai pelengkap.

"Biarlah orang nak kata lembut sekalipun, yang penting naluri kita masih terhadap wanita. Pernah juga terfikir kalau saya lembut kenapa isteri terima saya tetapi mungkin ada sesuatu yang buat dia tertarik jadi positif saja," katanya

'Jangan hukum lelaki lembut, kita semua bukan Tuhan'

Masyarakat tidak sewajarnya menghukum lelaki berperwatakan lembut hanya kerana penampilan luaran dan wanita yang memilih berkahwin dengan golongan berkenaan.

Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berkata, masyarakat juga perlu mengelak daripada mempersoal kemampuan lelaki berperwatakan lembut untuk mendapatkan zuriat kerana ia bukan urusan manusia dan adalah ketentuan Allah.

Sebaliknya, pasangan itu perlu diberi sokongan supaya dapat menjalani kehidupan rumah yang harmoni dan sentiasa ada persefahaman.

"Perkahwinan yang sah mengikut syarak hanya akan berlaku antara berlainan jantina iaitu lelaki dan perempuan.

"Jadi lembut, keras, ganas itu subjektif kerana apa yang penting, perkahwinan dibina kerana adanya kasih sayang dan dengan niat mendekatkan diri kepada Allah.

DR Mohd Izhar.
DR Mohd Izhar.

"Masyarakat jangan hukum (lelaki lembut) kerana kita semua bukan tuhan dan kena ubah persepsi negatif kepada positif.

"Jangan juga persoalkan sama ada mereka (lelaki lembut) mampu dapat zuriat atau tidak kerana ia hal ghaib yang Allah saja tahu dan terbukti ramai golongan itu yang berkahwin ada anak bukan seorang tetapi lebih daripada satu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Izhar berkata, wanita yang berkahwin dengan lelaki berperwatakan lembut pula perlu sedar kedudukan dan peranan mereka sebagai isteri.

"Seorang isteri wajib mentaati suami walaupun pasangan mereka itu berperwatakan lembut.

"Segala arahan suami wajib dipatuhi dan ditaati selagi mana ia tidak bercanggah dengan syarak.

"Ini kerana lembut itu satu karakter dan perwatakan tetapi hakikatnya suami tetap ketua keluarga serta ada hak ke atas isteri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 12:01 PM