Pelancong terkandas di Pulau Perhentian Shamsul Hafiz,30, (kiri) bersama rakan selamat tiba di Jeti Kuala Besut pagi ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Pelancong terkandas di Pulau Perhentian Shamsul Hafiz,30, (kiri) bersama rakan selamat tiba di Jeti Kuala Besut pagi ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Hampir 400 pelancong termasuk 22 kanak-kanak dan dua bayi yang terkandas di Pulau Perhentian di sini sejak Jumaat lalu selamat tiba di Jeti Kuala Besut kira-kira jam 9.15 pagi tadi.

Salah seorang pelancong, Mawar Rozali, 46, berkata, dia bersama rombongan keluarga dan rakan seramai 25 orang dari Selangor terkandas sejak tiga hari lalu di pulau itu.

"Ini kali pertama saya bercuti ke Pulau Perhentian dan tidak menyangka akan terkandas di pulau berkenaan.

"Mengikut perancangan awal kami mula bercuti pada hari Rabu sehingga Jumaat tetapi disebabkan cuaca buruk pagi tadi baru dibenarkan pulang," katanya ketika ditemui di Jeti Kuala Besut, pagi ini.

Menurutnya, walaupun diuji dengan cuaca tidak mengizinkan namun dia tidak serik untuk kembali bercuti ke pulau itu pada masa depan.

Suaminya, Mazlan Yaacob, 54, pula berkata, segala perancangan sepanjang percutian tergendala dan kebanyakan masa hanya dihabiskan di tempat penginapan.

"Hanya pada hari pertama saja kami boleh mandi dan menyelam kerana Khamis serta Jumaat hujan serta angin kuat sepanjang hari.

"Walaupun terpaksa mengeluarkan belanja tambahan kerana menginap lebih masa dari tempoh sepatutnya tetapi pihak ejen pelancongan memahami dan memberi diskaun harga lebih murah sepanjang tempoh terkandas.

"Kami dimaklumkan malam tadi supaya bersiap sedia pagi ini bot akan datang membawa kami kembali ke jeti.

"Bot bertolak kira-kira jam 8 pagi sebelum sampai ke jeti sekitar jam 9 pagi. Alhamdulillah sepanjang perjalanan tadi lancar dan tidak berlaku kejadian tidak diingini," katanya.

Sementara itu, Saidatul Salamah Mohamad Hashim, 22, berkata, dia bersama adik beradiknya pergi ke pulau itu untuk bercuti pada Rabu lalu.

"Ini kali kedua saya bercuti ke pulau ini, kali pertama tahun lalu. Tidak sangka percutian kali ini lebih panjang disebabkan terkandas," katanya.

Pelancong dari Kemaman, Shamsul Hafiz, 30, berkata dia bersama tiga lagi rakannya terpaksa mengambil cuti tambahan kerana terperangkap di pulau itu.

Difahamkan kira-kira 15 bot digunakan untuk membawa pelancong dari pelbagai negeri pulang ke Jeti Kuala Besut pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 1:09 PM