NAZUDI ketika kecil bergambar bersama bapa angkat, Allahyarham Ayob Hussein. FOTO Ihsan Nazudi Ayob.
NAZUDI ketika kecil bergambar bersama bapa angkat, Allahyarham Ayob Hussein. FOTO Ihsan Nazudi Ayob.
Redzuan Muharam


Cheras: "Saya tak pernah lihat wajah, jauh sekali berjumpa ibu dan ayah kandung. Jadi teringin sangat bertemu untuk salam serta cium tangan mereka," kata Nazudi Ayob.

Menurut pemuda berusia 49 tahun itu, dia dibesarkan ibu bapa angkat iaitu Allahyarham Ayob Hussein dan Norsinah Bustamam sejak lahir.

Menerusi perkongsian di Facebook baru-baru ini, Nazudi yang menetap di Bandar Tun Hussein Onn, di sini menyatakan keinginannya untuk menjejaki ibu bapa kandung dan meminta kerjasama rakan serta pengikutnya di platform media sosial itu supaya menghubunginya jika mempunyai maklumat.

Berkongsi kisahnya, Nazudi yang bekerja sebagai penjaga stor berkata, sudah lama dia ingin tahu perihal keluarga kandung, namun pernah tidak diceritakan ibu dan bapa angkat.

Kini, dia terbuka hati untuk menjejaki keluarga kandungnya dan menggunakan media sosial untuk membuat hebahan, dengan harapan mendapat petunjuk walaupun tiada sebarang langsung maklumat mengenai mereka.

"Apa yang saya tahu, saya dibesarkan ibu dan ayah angkat sejak kecil lagi di berek Balai Polis Pudu kerana ayah adalah anggota polis dan berkhidmat di situ sehingga tahun 80-an.

GAMBAR terkini Nazudi bersama isteri, Mariah Atan.
GAMBAR terkini Nazudi bersama isteri, Mariah Atan.

"Jadi, memang tak kenal langsung dengan ibu dan bapa kandung. Gambar mereka pun saya tak pernah tengok.

"Saya dijaga dengan baik oleh keluarga angkat hingga kami tinggal berasingan selepas saya berumah tangga dengan isteri pada 2010.

"Cuma ditakdirkan ayah meninggal dunia pada 2016 diikuti ibu (angkat) dua tahun kemudian (2018) dan yang tinggal hanya adik beradik angkat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Meskipun hanya anak angkat, Nazudi berkata, dia tidak merasa terasing kerana ditatang bagai minyak yang penuh oleh keluarga angkat, yang mendorongnya menganggap itu antara sebab dia tidak dimaklum mengenai keluarga kandung.

"Ada juga saya bertanya dengan adik beradik angkat yang lain dan mereka juga tak tahu.

"Usia saya semakin lanjut dan kalau boleh, saya nak jumpa dan kenal dengan keluarga kandung... nak tahu latar belakang sendiri.

"Saya nak juga rasa kasih sayang keluarga kandung seperti orang lain jika ibu dan ayah masih hidup," katanya.

Menurut Nazudi, setelah seminggu hebahan dibuat, belum ada mana-mana individu menghubungi atau berkongsi maklumat mengenai ibu bapa kandungnya.

Katanya, dia masih berharap ada keajaiban dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubunginya di talian 011-28827381.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 9:01 PM