NORZA  ketika sidang media pencapaian atlet Sukan Sea 2021 di The Hanoi Club.  FOTO Eizairi Shamsudin
NORZA ketika sidang media pencapaian atlet Sukan Sea 2021 di The Hanoi Club. FOTO Eizairi Shamsudin
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memberi peringatan kepada beberapa persatuan sukan kebangsaan agar segera berubah dan tidak menjadi beban kepada kontinjen negara di kejohanan berbentuk temasya.

Menurutnya, setiap persatuan harus bersikap adil dengan kontinjen bukannya menjatuhkan kontinjen.

"Ada persatuan sukan yang menterjemahkan perancangan untuk jangka masa medium dan jangka masa panjang. Ada masih lagi menggunakan semula orang yang sama dan cara pemikiran masih tidak berubah. Inilah 'orang' yang menjatuhkan kontinjen. "

Ada antara persatuan sukan menyahut cabaran dengan menghantar atlet muda dan ada persatuan kata tak adil tidak hantar atlet senior tapi yang hantar atlet senior masih ditakuk lama," kata Norza yang juga presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ujarnya, Malaysia harus perlu lebih berani (menghantar atlet muda) di Sukan Sea Kemboja Mei tahun depan.

"Sukan Sea Kemboja selepas berlangsungnya Sukan Malaysia (Sukma), jadi Sukma akan jadi kayu pengukur kepada atlet muda apabila bila kita menghantar mereka beraksi di sana. Apa salahnya hantar atlet muda kerana tahap penyertaan mereka (selepas Sukma) adalah Sukan Sea. Kita tidak boleh bergantung kepada atlet senior sahaja sampai bila-bila dan ia akan menyebabkan kita tidak ada apa-apa (atlet yang bagus) untuk Sukan Asia dan Olimpik," katanya.

Norza berkata, jika tidak berubah, Malaysia akan berada di takuk yang sama iaitu di kedudukan sekarang atau teruk lagi daripada sekarang.

"Kalau kita tidak berubah dan berada di takuk ini, kita akan tetap nombor enam (kedudukan keseluruhan), silap-silap nombor tujuh. Jadi saya fikir, kita perlu cari bakat dan perlu lihat perkara ini serta mara ke depan.

"Kalau kita hantar atlet pelapis dan mereka cuba sedaya upaya, kita boleh menghargainya. Bagaimanapun, kita tidak boleh hargai perkara sama berulang kali dan alasan sama.

"Kita perlu bangga dengan pencapaian kita di sini kerana banyak persatuan yang hantar atlet muda, mereka berjaya," katanya.

Malaysia menamatkan saingan di Sukan Sea Vietnam dengan menduduki tangga keenam dengan mengumpul 39 emas, perak 45 dan gangsa 90.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 3:55 PM