NAZMIZAN Mohamad pernah bergelar raja pecut Asia Tenggara. -FOTO NSTP
NAZMIZAN Mohamad pernah bergelar raja pecut Asia Tenggara. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bekas atlet olahraga negara, Nazmizan Mohamad mengakui pemilihan atlet di Sukan Sea harus seimbang dan bukannya berlandaskan untuk tujuan pembangunan dengan mengenengahkan tonggak remaja semata-mata.

Menurutnya, menghantar atlet muda semata-mata boleh diibaratkan sebagai 'mengenengahkan atlet kalah, sebelum berjuang' kerana berpegang kepada prinsip temasya dwi tahunan itu hanyalah sebagai temasya pembangunan.

"Dari satu sudut memang kita nampak langkah itu berani, dari satu sudut untuk pencapaian kita mahu lebih menyerlah kerana Sukan Sea adalah temasya terbesar dan kita akan hantar atlet betul-betul berkualiti," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Ujarnya, kontinjen negara harus melihat kembali pemilihan atlet ke Sukan Sea terutama olahraga, kerana bukan berdasarkan had kelayakan sahaja tetapi perlu melihat kembali ranking atlet.

"Mungkin boleh pertimbangkan ranking atlet nombor satu dalam Malaysia, kerana catatan dia juga berada dalam kedudukan pingat. Selepas ini akan menjadi pertanyaan kenapa tidak diberikan peluang kepada atlet senior, kenapa diberikan kepada atlet remaja, kita kena perjelaskan semua perkara ini agar tidak menjadi pertikaian orang ramai, barisan kejurulatihan.

"Pelik kalau atlet nombor satu tak pergi tetapi atlet remaja yang pergi. Bukan hendak menidakkan peluang atlet remaja, saya puji kita menghantar mereka bagi tujuan pembangunan tetapi tidak seimbang kalau atlet nombor satu (senior) tidak dihantar.

"Kalau orang berkata, ia hanya Sukan Sea (bukannya temasya besar) kalau macam itu kenapa letak sasaran 40 emas, letaklah sasaran 70 emas. Kita sebenarnya tidak mahu isu ini dipertikaikan, biar telus. Memang kejohanan pertama untuk pendedahan, tak nafi semua itu betul. Bagaimanapun, kalau tujuan pendedahan antarabangsa boleh sahaja hantar di kejohanan lain misalnya olahraga di mana-mana kejohanan terbuka.

"Kenapa masa kejohanan terbuka tidak hantar ramai seperti 20 hingga 30 atlet, bila nampak mereka ada potensi masa itulah bakat mereka harus diketengahkan. Alasan pendedahan itu memang boleh diterima, tetapi temasya ini juga berprestij. Jangan setakat berkata, 'Sukan Sea jer pun'...jangan ia membabitkan imej, sekarang berapa ranking keseluruhan kita? bawah Singapura, Filipina, ia akan memperlihatkan sukan di Malaysia merosot," katanya.

Sebelum ini Arena Metro melaporkan kontinjen negara seakan bergelut untuk mencapai sasaran 40 emas yang ditetapkan berdasarkan beberapa sukan tradisi di Malaysia ada yang mencatatkan keputusan mengecewakan seperti bola sepak, badminton dan hoki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 2:36 PM