ALLAHYARHAM Ridzuan Hashim. FOTO arkib NSTP
ALLAHYARHAM Ridzuan Hashim. FOTO arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Ridzuan Hashim, 62, disahkan meninggal dunia pagi ini di kediamannya, di Bandar Tun Razak, di sini.

Anak saudaranya yang juga pelakon, Iman Zulkarnain memaklumkan kepada media bahawa Allahyarham Ridzuan meninggal dunia secara mengejut ketika sedang bersarapan di rumahnya.

"Arwah meninggal sekitar jam 11 pagi hingga 12 tengah hari tadi di rumahnya di Bandar Tun Razak. Ketika itu, anaknya ada di rumah dan dia sedang bersarapan.

"Jadi, dia 'keras' dan jatuh dari kerusi, seterusnya anaknya bergegas membawanya ke hospital. Bila diperiksa, pihak hospital sahkan bahawa dia dah tak ada (meninggal)," katanya.

Iman juga memaklumkan, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua, Hulu Langat.

Berita pemergian aktor yang dikenali sebagai watak King dalam filem KL Gangster itu nyata mengejutkan ramai pihak.

Sementara itu, bekas isterinya yang juga pelakon, Didie Alias berkongsi berita duka itu menerusi hantaran video di Instagramnya.

"Saya nak beritahu kepada semua sahabat dan saudara mara yang mengenali bekas suami saya, Mohd Ridzuan Hashim, dia sudah kembali ke Rahmatullah tadi.

"Kepada sesiapa yang ingin melawat, arwah masih di Hospital Kuala Lumpur. Saya mohon kepada sesiapa yang ada hutang kepada arwah, boleh terus hubungi saya. Ampun dan maafkannya," katanya.

Terdahulu Ridzuan memulakan kerjaya seninya sebagai model pada 1981 sebelum terjun ke bidang lakonan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 3:45 PM