Pengebumian Ridzuan Hashim di Hulu Langat.
Pengebumian Ridzuan Hashim di Hulu Langat.
Syafil Syazwan Jefri


Hulu Langat: Jenazah pelakon, Allahyarham Ridzuan Hashim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Dusun Tua, jam 8 malam tadi. 

Majlis pengebumian dihadiri keluarga dan sahabat handainya termasuklah barisan artis antaranya, Norman Hakim, Edika Yusof, Zalif Sidek, Datin Alyah, Fizo Omar dan ramai lagi. 

Terdahulu, jenazah disempurnakan di Surau Kuarters Hospital Kuala Lumpur, sebelum dibawa ke Masjid Al-Muttaqin, Hulu Langat untuk disembahyangkan. 

Anaknya, Muhammad Dhanial Ridzuan, 29, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada ayahnya. 

"Terima kasih kepada semua yang hadir. Saya rasa terharu sebab ramai juga yang datang. s

"Saya ingin memohon maaf kerana tak berkesempatan untuk menguar-uarkan berita ini awal tadi," katanya kepada Harian Metro. 

Terdahulu, Ridzuan dilaporkan terjatuh dan tidak sedarkan diri ketika bersarapan di kediamannya di Bandar Tun Razak sebelum disahkan meninggal dunia. 

Ridzuan meninggalkan lima cahaya mata hasil perkahwinan dengan bekas isteri yang juga pelakon, Didie Alias. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 8:39 PM