KEJADIAN lemas yang mengorbankan dua beradik di Pantai Tanjung Buloh kelmarin. FOTO Ihsan Polis
KEJADIAN lemas yang mengorbankan dua beradik di Pantai Tanjung Buloh kelmarin. FOTO Ihsan Polis
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: "Kami reda dengan ketentuan Ilahi namun bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang, tahap keselamatan pengunjung juga perlu dipertingkatkan," kata Johari Mohd Barjol, 51.

Johari memberi reaksi itu susulan kehilangan dua anaknya Siti Rabiah, 13, dan Siti Nursalina, 10, yang lemas di Pantai Tanjung Buloh di sini, kelmarin.

Mengimbas kejadian itu, dia berkata, keluarganya agak terkilan kerana pihak pengurusan pantai berkenaan kekurangan kemudahan penyelamatan ketika berlaku kecemasan.

"Kelmarin kami terpaksa menggunakan pelampung kanak-kanak untuk menyelamatkan isteri dan adik perempuan saya kerana tiada pelampung keselamatan.

"Ketinggian air ketika itu adalah kira-kira tiga meter, sepatutnya pengurusan pihak pengurusan pantai peka dengan perkara seumpama ini," katanya ketika ditemui, hari ini.

Johari berkata, dia mendapati Pantai Tanjung Buloh hanya dikawal pengawal keselamatan dan diharap pengurusan mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan di situ.

Sementara itu, penduduk Noorma Samsudin, 40, berkata, pihak pengurusan pantai itu perlu memasang tanda amaran di lokasi berbahaya atau berisiko di pantai dan melaksanakan jadual tugas berkala bagi memantau pengunjung, terutama mereka yang melakukan aktiviti air.

"Kes lemas di pantai kerap berulang terutama ketika cuti sekolah dan cuti umum dan ia bukan perkara baharu.

"Semua pihak seharusnya memandang serius perkara ini. Selain pengurusan pantai, pengunjung juga seharusnya lebih berhati-hati," katanya.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan percutian sebuah keluarga di Pantai Tanjung Buloh sempena cuti umum berakhir dengan tragedi apabila dua beradik ditemukan lemas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 5:38 PM