PAPAN tanda di Kota Baubau turut menggunakan huruf hangul. FOTO Agensi
PAPAN tanda di Kota Baubau turut menggunakan huruf hangul. FOTO Agensi
Agensi

Jakarta: Keunikan Bahasa Cia-Cia menggunakan aksara hangul Korea terhasil apabila tiada padanan huruf sesuai hingga menjadikan sebuah daerah kecil di Indonesia terkenal di dunia.

Huruf hangul dipercayai digunakan 93,000 masyarakat Cia-Cia di Kota Baubau, Pulau Buton, Sulawesi Tenggara.

Mengikut sejarah, Bahasa Cia Cia Buton atau Bahasa Buton Selatan sejenis Bahasa Austronesia yang menjadi bahasa tutur masyarakat tempatan yang tidak memiliki budaya menulis.

Kemahiran menulis masyarakat Cia Cia hanya dimiliki orang lama yang membuat torehan pada sepotong papan kayu atau kertas sebagai simbol untuk menghasilkan coretan.

SEORANG guru mengajar Bahasa Cia-Cia menggunakan huruf hangul. FOTO Agensi
SEORANG guru mengajar Bahasa Cia-Cia menggunakan huruf hangul. FOTO Agensi

Memetik laman Bobo, sejarah penggunaan huruf hangul di Cia Cia bermula apabila pakar bahasa berpendapat Bahasa Cia Cia memiliki persamaan dengan Bahasa Korea.

Sebelum itu, usaha melestarikan Bahasa Cia Cia dilakukan dengan menggunakan huruf Hijaiyah namun masih banyak bunyi bahasa yang jika ditulis memberikan makna berbeza.

Akhirnya kesepadanan bunyi Bahasa Cia Cia ketika dituliskan dalam huruf hangul menjadi asas penggunaan aksara ini berbanding huruf latin yang digunakan di Indonesia.

Seterusnya, datuk bandar mendokumentasikan budaya masyarakat Cia Cia dengan sejarah penggunaan aksara Cia Cia.

Ini menjadikan huruf hangul di Cia Cia, secara rasmi digunakan sejak tahun 2009.

Sejak itu, bukan hanya melambangkan budaya, malah huruf hangul ini digunakan dalam penulisan nama jalan, nama sekolah atau pejabat kerajaan.

Selain itu, Bahasa Cia-Cia yang mengadaptasi huruf hangul juga dimasukkan dalam kurikulum sekolah tempatan.

HURUF hangul ini digunakan dalam penulisan nama jalan, nama sekolah atau pejabat kerajaan. FOTO Agensi
HURUF hangul ini digunakan dalam penulisan nama jalan, nama sekolah atau pejabat kerajaan. FOTO Agensi

Kemudian, muncul Kampung Korea di Kota Baubau selepas penduduk setempat yang kebanyakannya Suku Laporo menggunakan bahasa daerah Cia Cia sebagai rutin harian dengan nama jalan di daerah Sorawolio itu ditulis dengan huruf hangul serta maknanya dari Bahasa Cia-Cia.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna Bahasa Cia Cia ini sama atau difahami oleh penutur Bahasa Korea.

Ini kerana ia mempunyai kosa kata dan pengucapan yang berbeza dengan Bahasa Korea.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 8:00 AM