JOURNAL 4U antara rekaan premium percuma menawarkan aspek sekuriti dibangunkan Kaviraja Nalla Mutthu.
JOURNAL 4U antara rekaan premium percuma menawarkan aspek sekuriti dibangunkan Kaviraja Nalla Mutthu.
Muhammad Saufi Hassan


Kemajuan teknologi pada hari banyak mengubah kehidupan seharian pengguna bermula dari keterjalinan komunikasi digital sehingga kepada catatan secara digital.

Catatan secara digital ini lebih interaktif apabila pengguna berupaya memasukkan gambar, peta, audio, video dan sebagainya untuk rujukan pada masa depan.

Untuk itu, jurnal digital ini mempunyai manfaat yang tersendiri dan aplikasi Journal 4U antara aplikasi premium yang percuma menawarkan aspek sekuriti untuk penyeragaman bagi seluruh peranti berasaskan Apple menerusi padanan iCloud.

Pembangun aplikasi berkenaan yang juga anak tempatan, Kaviraja Nalla Mutthu menyatakan bahawa pengguna mempunyai beberapa kaedah untuk memasukkan jurnal berkenaan digunakan bagi peranti iPhone, iPad, MacBook, Apple Watch atau Siri.

"Beberapa ciri-ciri utama Journal 4U adalah pengguna boleh menggunakan transkripsi suara, memasukkan gambar dengan pautan, menyeragamkan jurnal dengan fail, pautan muzik sambil menulis di jurnal dengan aplikasi Shazam, peringatan tidak terhad, lokasi dan sebagainya.

"Idea untuk mencipta aplikasi ini muncul apabila saya melihat betapa hebatnya komputer ketika itu pada tahun 1990-an dan saya menghabiskan banyak masa bermain permainan, melayari Internet, sentiasa ingin tahu tentang teknologi.

"Semakin lama, saya membesar dan akhirnya menamatkan pengajian dalam Ijazah Pentadbiran Perniagaan sambil bekerja sepenuh masa, tetapi tidak ada kaitan dengan minat saya," katanya.

Beliau menemui kaedah pembelajaran untuk melaksanakan 'coding' menerusi Swift Playgrounds iaitu sebelum pandemik Covid-19 dan tidak lama selepas itu, menyambung pengajian di University of London, United Kingdom dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) namun sedar bahawa itu bukan minatnya.

"Ketika itu saya sedar bahawa pengekodan (coding) ini lebih menyeronokkan dan saya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pengajian.

"Ada yang bertanya kepada saya, kenapa memilih untuk membangunkan aplikasi jurnal berbanding banyak tema lain, jawapannya, terdapat banyak kajian yang dilaksanakan menunjukkan penulisan jurnal ini mampu untuk memberikan ketenangan kepada minda dan keseluruhan kesihatan.

"Semua pengekodan aplikasi yang saya laksanakan adalah menggunakan platform Swift dan ia adalah satu pengalaman paling menakjubkan serta mudah," katanya.

Kaviraja Nalla Mutthu menyatakan bahawa terdapat banyak kajian bahawa penulisan jurnal dapat mengurangkan tekanan.
Kaviraja Nalla Mutthu menyatakan bahawa terdapat banyak kajian bahawa penulisan jurnal dapat mengurangkan tekanan.

JOURNAL 4U beri fokus kepada kaedah catatan digital dan penyeragaman dengan peranti boleh dilaksanakan dengan mudah.
JOURNAL 4U beri fokus kepada kaedah catatan digital dan penyeragaman dengan peranti boleh dilaksanakan dengan mudah.

Menurutnya, kaedah sintesis deklaratif Swift itu menjadikan ia begitu mudah sehingga sesiapa yang mahir dalam matematik boleh melaksanakan pengekodan tanpa perlu pembelajaran yang terlalu teliti.

Pada masa sama, beliau pernah mencuba bahasa pengaturcaraan (programming) lain tetapi tiada satu pun daripadanya semudah SwiftUI, dengan hanya beberapa baris kod, kita boleh membangunkan antara muka pengguna yang boleh digunakan sepenuhnya.

Beliau berkata, Apple menyediakan hampir semua yang pengguna perlukan untuk membangunkan aplikasi. Paling penting hanya perlu tahu cara dan tempat untuk menggunakan API mereka.

"Antara ciri-ciri utama yang diintegrasikan ialah widget skrin kunci untuk pengguna menjejaki tabiat jurnal mereka tanpa membuka aplikasi atau menjejak aksara jurnal setiap hari menerusi Carta Swift dengan API widget dan paparan 'Look Around' dalam peta Apple untuk menghidupkan semula detik-detik jurnal mereka," katanya.

Ketika ditanya hubungan terdapat komuniti pembangun aplikasi untuk mendapatkan sokongan atau bimbingan, beliau mengakui memang ada sokongan dan panduan daripada Apple kerana tanpanya, semua ciri - ciri interaktif di dalam Journal 4U tidak akan dapat direalisasikan.

"Selain itu, saya menggunakan semua sumber yang tersedia dalam talian, aplikasi Pembangun Apple, Forum Pembangun Apple, YouTube, Stack Overflow, Reddit, Swift, kursus dalam talian percuma Stanford dan banyak lagi.

"Saya menonton video daripada aplikasi Apple Developers berulang kali hanya untuk membina ciri-ciri tertentu dan masa yang diluangkan adalah berbaloi.

"Perjalanan untuk Journal 4U ini masih panjang dan saya akan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa dengan ciri-ciri baharu yang dirasakan sesuai untuk pengguna," katanya.

Ditanya berhubung Persidangan Pembangun Sedunia 2023 (WWDC23) tidak lama lagi, beliau menyatakan akan hadir ke Amerika Syarikat (AS) dan ia adalah mimpi yang menjadi kenyataan kerana diberi peluang untuk sama-sama menimba ilmu serta melihat perkakas baharu yang akan diperkenalkan oleh Apple.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 7:00 AM