Yunalis.
Yunalis.

Kuala Lumpur: Selepas lebih tujuh tahun, Yuna, 37, kembali menghadiahkan lagu Melayu berjudul Menanti yang bakal dilancarkan pada 17 Mac ini.

Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara'ai berkata, menulis lagu Melayu bukan tugas mudah, namun dia lega projek terbarunya itu kini jadi kenyataan.

"Lagu pertama saya lancarkan selepas tujuh tahun. Saya sangat teruja dengan projek kecil saya ini. Menulis dalam bahasa Melayu adalah sesuatu yang bukan senang untuk saya. Ia bahasa yang cukup indah.

"Saya teramat seronok dapat jayakan projek ini dan tulis beberapa lagu untuk anda. Saya tak sabar untuk peminat menikmatinya sendiri," katanya.

Kali terakhir Yuna tampil dengan lagu Melayu adalah pada 2016 menerusi lagu duetnya bersama SonaOne berjudul Pulang.

Penyanyi yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat ini juga berjanji akan sajikan beberapa lagu Melayu ditulisnya selepas ini.

"Kebetulan ada pula peluang dan inspirasi, terimalah Menanti. Dan lagu-lagu lain yang akan datang. Sayang korang," katanya.

Pengumuman itu jelas mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat tempatan juga. Rata-rata sudah tidak sabar mendengar lagu Menanti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 1:06 PM