Khairul Najib Asarulah Khan

Seremban: Seorang peniaga melakukan jualan khas dengan menawarkan pakaian seragam sekolah pada harga RM5 sehelai bagi meringankan beban ibu bapa membuat persiapan.

Mohd Faezli Khusssin berkata, dia melakukan kerja amal menjual baju, seluar, kain samping dan tudung pada harga RM5 kerana mengambil barangan itu terus dari pembekal secara pukal di Tangkak, Johor.

Katanya, dia turut menjalankan perniagaan sama di beberapa lokasi lain sebelum ini termasuk Muar, Gemas dan Bahau.

“Saya menjual pada harga lebih murah berbanding pasar raya bagi meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan. Saya gembira dapat membantu mereka yang memerlukan.

“Saya sudah menjual 15,000 helai pakaian dan kebanyakan pelanggan datang berpuas hati dengan pakaian dibeli,” katanya ketika ditemui di Karnival Kesihatan Ampangan di sini, kelmarin.

Sementara itu, pelanggan, Siti Rozila Romly, 30, berkata usaha dilakukan itu mampu meringankan beban ditanggung ibu bapa membuat persiapan membeli kelengkapan persekolahan anak.

Katanya, dia sebelum ini membelanjakan RM300 untuk pakaian seorang anak, tetapi dengan adanya jualan murah seperti ini, dia hanya membelanjakan RM150 sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 3:46 AM