Syafil Syazwan Jefri


SERAM, bercampur gusar dan menjentik jiwa!

Itulah kata-kata ringkas yang dapat saya katakan ketika kali pertama mendengar dan menonton video muzik single baru berjudul Neraca.

Neraca adalah karya kerjasama antara dua bintang baru dalam dunia hip hop dan rap iaitu Kmy Kmo dan Luca Sickta, menampilkan penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah.

Babak awal permulaan lagu ini saja sudah mampu membuatkan bulu roma saya berdiri tegak.

Meremang apabila mendengar suara bergema, ditambah pula dengan babak 'slow motion' diikuti dengan babak di mana ketiga-tiga penyanyi ini diikat di kerusi.

"Lepaskan semua! Jadi lepaskan semua," lantun Jamal seperti memohon untuk dilepaskan.

Menerusi lagu ini, Kmy dan Luca nampaknya mula memperlihatkan identiti muzik mereka yang kerap kali dilihat menggabungkan elemen moden serta elemen ghazal mewakili suara tradisional.

Bagi peminat yang rindukan lantunan ghazal daripada Jamal seperti yang pernah dipersembahkan dalam lagu Ghazal Untuk Rabiah, Neraca tentunya dapat mengubat kerinduan itu.

Lantunan rap Kmy dan Luca juga lancar dan jelas. Mesej yang mereka sampaikan tersurat tanpa berselindung menerusi setiap butir kata yang dilantunkan.

Neraca membawa erti penimbang dan jelas sekali mesej yang ingin disampaikan menerusi lagu ini adalah keseimbangan dalam kehidupan.

Secara ringkasnya, Neraca mengisahkan mengenai kehidupan manusia yang semakin lalai dalam beberapa babak.

Ada manusia yang leka dengan maksiat, ada yang leka dengan teknologi dan media sosial, bahkan ada juga yang leka dengan material.

Kesemua mereka 'dirantai' dengan kehendak dan nafsu mereka tanpa memikirkan sisa waktu yang semakin singkat menerusi babak di mana jam ditunjuk beberapa kali sebagai simbolik.

ANTARA babak dalam klip video NERACA
ANTARA babak dalam klip video NERACA

Pada masa sama, Kmy, Luca dan Jamal juga menjadi simbolik suara hati yang menjadi peringatan dalam diri manusia.

Dalam pada mereka ingin meluahkan nasihat dan mengekspresikan pesanan buat manusia lain, mereka juga dikunci dan diabaikan.

Itulah yang berlaku kepada kata hati yang sering terabai kerana manusia lebih memilih untuk mengikut kehendak nafsu.

Tidak dinafikan, Neraca mungkin mampu menjadi satu lagi karya penuh nasihat daripada dua penyanyi hip hop yang semakin popular ini.

Pemilihan Jamal juga mampu mengukuhkan lagi kedudukan mereka di dalam industri, seperti mana sebelum ini ketika mereka berjaya menyunting Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk bekerjasama dalam 7 Nasihat.

Di YouTube, video muzik Neraca sudah mula dilancarkan pada 19 Februari lalu dan sudah diulang tonton hampir 800,000 tontonan.

  • LAGU: Neraca

  • PENYANYI: Kmy Kmo, Luca Sickta feat Datuk Jamal Abdillah

  • CIPTAAN: Kmy Kmo, Luca Sickta

  • LIRIK: Kmy Kmo, Luca Sickta

  • TERBITAN & EDARAN: Universal Music Malaysia
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 6:30 AM