OYEN yang turut menjadi mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu mendapat perhatian apabila ramai individu mahu menjaganya. FOTO Ihsan Dr Zul Erwan
OYEN yang turut menjadi mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu mendapat perhatian apabila ramai individu mahu menjaganya. FOTO Ihsan Dr Zul Erwan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kucing tular dinamakan Oyen yang turut menjadi mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu dilaporkan sudah 'tiada'.

Perkhabaran sedih itu dimaklumkan oleh pemilik Klinik Veterinar Zul Erwan, Dr Zul Erwan Azmi yang merawat Oyen di laman sosial Instagram miliknya malam ini.

"Dukacita dimaklumkan, Oyen Elmina sudah pergi untuk selamanya hari ini.

"Oyen yang didapati positif untuk virus FIV (Aids kucing) membuatkan sistem imun badan Oyen terganggu," tulisnya.

Beliau berkata, komplikasi luka yang berada di tulang belakang menyebabkan jangkitan kuman lebih cepat merebak.

Katanya, keadaan Oyen semakin lemah dan tidak dapat bertahan meskipun rawatan terbaik sudah diberikan.

Dr Zul Erwan turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan Oyen.

Harian Metro sebelum ini menyiarkan kisah Oyen yang ditemui berhampiran lokasi nahas pesawat terhempas yang mengorbankan 10 nyawa oleh petugas KKM sebelum diberikan rawatan awal dibawa pulang dan kemudiannya dihantar ke klinik veterinar untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 12:10 AM