RAMAI yang menggunakan platform media sosial sebagai medium perluahan tanpa memikirkan impak setiap apa sahaja yang disampaikan.
RAMAI yang menggunakan platform media sosial sebagai medium perluahan tanpa memikirkan impak setiap apa sahaja yang disampaikan.
Nazarali Saeril


Ketika bercinta, semuanya 1,001 serba indah, pijak semut pun tak mati, malah lautan api sekalipun sanggup direnangi.

Selepas berkahwin, apabila timbul masalah, mulalah semuanya diungkit, malah dikongsikan di media sosial masing-masing.

Trend terkini banyak pasangan suami isteri kongsikan 'cerita dalam kain' di media sosial.

Mahukan ia jadi perhatian? Mahukan pengikut jadi hakim, beri sokongan? Mahukan masyarakat sedar berkaitan buruknya sikap pentingkan diri sendiri? Semuanya boleh dilihat sekali imbas menerusi ulasan diberi.

Apa yang tinggal untuk kita jika semuanya dikongsikan di media sosial?

Ikuti wawancara Pegawai Psikologi Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM) SITI FATIMAH ABDUL GHANI bersama Pengarang Berita NAZARALI SAERIL berkaitan isu yang kian mencengkam kehidupan banyak pasangan berkahwin ketika ini.


Pasangan suami isteri buka aib masing-masing di media sosial. Apa puncanya dan mengapa ia umpama jadi trend ketika ini?

Secara faktanya, media sosial merupakan platform paling pantas, tular dan medium penyampaian terbesar tanpa batasan.

Ibarat kata semuanya di hujung jari tidak mengira tempat atau masa.

Apa yang disampaikan terus tersebar tanpa sekatan. Oleh itu, ramai yang menggunakannya sebagai medium perluahan tanpa memikirkan impak setiap apa sahaja yang disampaikan.

Situasi ini berlaku berdasarkan beberapa faktor seperti desakan emosi untuk meluahkan sesuatu yang diyakini akan sampai terus pada yang dimaksudkan.

Kuasa tular itu dianggap paling sebati untuk emosi yang ditanggung ketika itu (apa sahaja tujuan atau isu yang dibangkitkan).

Persoalan sama ada membuka aib juga bergantung kepada situasi dan keadaan.

Tidak semua perkara itu boleh dianggap sebagai membuka aib jika perluahan itu pada kadar yang tidak melampau.

Bagi kes tertentu, ada juga keperluan perluahan atau perkongsian di media sosial bagi tujuan penjelasan atau apabila tiada medium lain lagi untuk berbuat sedemikian.

Ia bertujuan memperihalkan apa yang sepatutnya sahaja dan 'kuasa tular' itu ada kalanya memberikan kesan segera.


Dengan jumlah pengikut yang ramai, suami isteri berkaitan seolah-olah mahu menarik perhatian, sokongan serta simpati daripada pengikut masing-masing?

Masyarakat harus sedar bahawa media sosial sekiranya digunakan dengan cara yang betul, akan memberi banyak manfaat dan menjadi sebaliknya apabila disalahgunakan.

Keghairahan berkongsi maklumat tentang kehidupan seharian yang ada kalanya menyebarkan mesej negatif boleh mempengaruhi minda, psikologi dan emosi pengguna media sosial yang lain.

Perkara ini harus diambil serius kerana ia boleh menyumbang kepada budaya toksik.

Perkongsian itu juga mengakibatkan kesan negatif terhadap emosi dan tingkah
laku warga siber.

Selain itu, luahan provokatif dan kenyataan melampau yang dimuat naik di media sosial boleh menyebabkan tekanan, kebimbangan, kegusaran, kemurungan dan ketidakpastian kepada pengguna lain.


,b>Pengikut pula ada yang bertindak umpama batu api. Malah, ada juga pengikut yang terlalu emosi hinggakan bertarung dengan musuh masing-masing di media sosial berkaitan?

Perang psikologi boleh berlaku tanpa sedar dan membabitkan ramai individu, bukan sahaja pasangan yang berkonflik, tetapi meninggalkan kesan ketirisan budaya dan adab susila yang seharusnya dibincangkan secara sulit dan privasi.

Status yang ditulis boleh membawa kepada fitnah yang akan mencerminkan personaliti, sikap dan imej diri anda sebagai seorang yang terlalu mengikut emosi dan berperlakuan tidak rasional.

Tanpa sedar, perkongsian yang berterusan dan berpanjangan akan hanya mewujudkan perbalahan pada pihak lain sehingga ada kemungkinan turut memberi kesan kepada keharmonian rumah tangga pasangan lain.

Ia seperti ledakan emosi dan dendam yang tersimpan sekian lama.

Parah bukan? Akibatnya, media sosial akan dihujani komen perkongsian bersifat kecaman semata-mata yang boleh mengancam kesihatan mental.

Tragisnya, dengan perkongsian yang tidak rasional ini memungkinkan tindakan luar jangkaan kepada individu yang kurang bernasib baik atau bermasalah.

Jika diteliti komen orang ramai atas perkongsian sebegini, ada yang memberi sokongan moral namun tidak kurang juga yang mengecam.

Tanpa segan silu, ada segelintir pengguna media sosial memberi maklum balas dengan meninggalkan komen negatif.


Peranan pakar seperti pakar kaunseling dan yang berkaitan kekeluargaan juga mungkin semakin diketepikan kerana masing-masing menganggap penyokong di media sosial lebih mudah untuk memberi nasihat dan pelbagai lagi?

Stigma masyarakat tentang kebergantungan pada media sosial perlu diubah dengan meneruskan perkongsian yang baik-baik serta bermanfaat daripada pakar kaunseling serta pakar psikologi perkahwinan atau para ilmuwan.

Ia perlu dilakukan tanpa henti sungguhpun masyarakat masih memerlukan penyokong di media sosial.

Saya cukup percaya bahawa usaha berterusan oleh tenaga pakar tetap akan diterima oleh sebahagian masyarakat yang celik akal.


n

Kini, mungkin boleh diumpamakan, suami isteri bukan lagi takut kepada Pencipta, tetapi takutkan kesan media sosial?

Sewajarnya berikan masa untuk bertenang dan memahami konflik yang berlaku.

Dapatkan pandangan daripada individu terdekat supaya tindakan yang diambil itu didasarkan kepada beberapa pertimbangan yang membabitkan diri, maruah, batasan serta privasi.

Yakin pada proses serta masa dan ketahuilah, segala komen atau sokongan yang diterima secara maya ini bersifat sementara sedangkan tanggungjawab sepenuhnya terletak pada diri sendiri.

Dalam erti kata lain, baik buruk, suka duka itu sendirian yang menanggung.

Maka bersegeralah sedar untuk menghentikan perkongsian yang sulit dan biarkan tindakan bijak itu dibuktikan nanti.

Minta doa dan keberkatan daripada Yang Maha Pencipta selain mencari penyelesaian paling sesuai.


Sampai bila trend ini akan berterusan?

Trend ini akan berterusan selagi semua individu atau pasangan berkaitan mengabdikan diri pada media sosial.

Atau menjadi hamba pada ledakan teknologi yang menyebabkan kemiskinan moral serta gangguan emosi dan budaya mementingkan diri.

Pendekatan yang terbaik ialah masyarakat mestilah bersikap praktikal dan bertindak secara waras dalam memuat naik kandungan di rangkaian siber.

Elakkan sikap mementingkan diri sendiri dengan berkongsi sorotan gaya hidup mewah, barangan berjenama yang dimiliki atau gambar percutian mewah, hidangan lazat yang dinikmati serta kejayaan di tempat kerja di akaun media sosial.

Ini kerana ia boleh mengundang perasaan tidak puas hati, kecewa, iri hati dan kemurungan daripada golongan kurang bernasib baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 7:30 AM