GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Mohamad Shakil Hameed

Laporan seorang wanita tempatan pemilik akaun TikTok popular yang disyaki membunuh diri selepas tidak dapat menerima dan menahan komen berbaur negatif dan kecaman di akaunnya adalah satu tragedi malang yang tidak sepatutnya berlaku. Sikap netizen yang bertindak di luar batasan kemanusiaan dengan menyerang secara peribadi sehingga mengganggu emosi dan mengguris perasaan mangsa cukup dikesali dan anggota masyarakat perlu memandang serius isu buli siber seperti ini.

Insiden tragis ini sewajarnya membuka mata dan menyedarkan anggota masyarakat tentang bahaya budaya membuli secara siber yang kian berleluasa dan mula menjadi trend dan ancaman yang sangat serius.

Secara umumnya, buli siber ditakrifkan sebagai perbuatan mengancam, memalu atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti, mesej teks (SMS), chatting, e-mel, laman web sosial, telefon bimbit atau permainan internet. Rangkaian media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram, Twitter serta aplikasi WhatsApp adalah platform paling popular untuk aktiviti buli siber dan mangsanya terdiri daripada segenap lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan belia.

Antara kesan nyata kepada mangsa yang dibuli secara siber ialah, menjejaskan emosi dan mental apabila mangsa berasa tertekan dengan komen berbentuk negatif yang dilemparkan sehingga boleh menyebabkan kemurungan dan keresahan yang melampau. Mangsa juga akan berhadapan dengan masalah kesukaran untuk bergaul sehingga menjejaskan kehidupan sosial kerana hilang keyakinan diri untuk berinteraksi atau bimbang dengan tohmahan yang dilemparkan oleh masyarakat.

Buli siber juga menjejaskan aspek fizikal mangsa kerana boleh menyumbang kepada perubahan tabiat pemakanan sehingga menjejaskan kesihatan termasuk berhadapan masalah sakit kepala, muntah, sakit perut dan sebagainya. Pada akhirnya ada yang hilang kawalan sehingga boleh bertindak membunuh diri.

Justeru, kita perlu sedar aktiviti buli siber adalah sangat berbahaya dan boleh mendatangkan kemudaratan yang cukup serius kepada semua lapisan anggota masyarakat tanpa mengira umur dan jantina.

Aktiviti buli siber ini melibatkan dua kelompok iaitu pembuli dan mangsa yang dibuli di mana boleh jadi pembuli dan mangsa saling kenal mengenali atau langsung tidak mengenali, malah banyak juga kes di mana pembuli menggunakan akaun palsu. Dalam kebanyakan kes pembuli sukar untuk dikenal pasti kerana mereka boleh merahsiakan identiti sebenar.

Okeh itu, anggota masyarakat perlu bijak menggunakan internet terutamanya pengendalian akaun media sosial masing-masing kerana pada akhirnya kita akan menjadi mangsa netizen yang tidak berhati perut jika gagal untuk mengawal keadaan serta emosi diri.

Setiap pengguna media sosial perlu sedar kesan dan akibat bila membuka akaun dan aktif memuat naik kandungan masing-masing baik dalam bentuk penulisan, gambar mahupun video. Hakikatnya kita perlu sedar dan bersedia untuk menerima segala jenis komen dan pandangan daripada netizen baik yang berbentuk pujian, nasihat mahupun kejian dan kecaman.

Secara prinsipnya, kita perlu kuat dari segi emosi dan perasaan untuk berhadapan sebarang bentuk maklum balas daripada netizen yang sukar untuk dikawal.

Bagaimanapun, dalam konteks ini kita perlu bijak menguruskan ketetapan akaun terutama dari segi kawalan terhadap senarai rakan atau pengikut serta keperluan untuk menapis komen yang diterima.

Misalnya, jika kita menerima komen negatif daripada rakan yang dikenali sewajarnya kita perlu terus menghubungi dan menegur mereka dengan tegas supaya perbuatan itu tidak diulangi dan mereka juga akan sedar kita tidak menyukai komen seperti ini. Manakala jika kita menerima komen negatif daripada netizen yang tidak dikenali atau akaun palsu sewajarnya kita boleh mengambil beberapa tindakan seperti memadam komen tersebut atau sekat mereka daripada terus memberi komen.

Langkah mudah adalah abaikan mesej negatif tersebut kerana bertindak balas boleh memburukkan lagi keadaan. Biar dalam hal ini kita lebih bersikap acuh tak acuh yang akhirnya akan memutuskan komunikasi kita dengan pembuli terbabit. Ironinya, orang yang membuli secara siber mahu mangsa bertindak balas maka sekiranya mereka diabaikan, akhirnya mereka akan muak dan beralih kepada orang lain. Ia secara tidak langsung dapat menghalang pembuli daripada terus mengganggu mangsa.

Selain itu, kita juga perlu berani dan bersedia untuk melaporkan aktiviti buli siber ini kepada pihak berkuasa supaya pembuli diambil tindakan yang sewajarnya. Hal ini supaya pihak berkuasa dapat mengenakan tindakan undang-undang kepada pembuli sekali gus memadamkan akaun mereka secara kekal atas kesalahan penyalahgunaan di media sosial. Ingat, tindakan kita yang suka berdiam diri boleh menyebabkan pembuli tegar terus mengganggu dan membuli orang lain.

Apapun kita ingin berpesan kepada semua netizen yang suka membuli secara siber baik secara suka-suka mahupun atas sebab tertentu, hentikanlah perbuatan jenayah siber ini kerana ia satu perbuatan yang tidak beretika dan cukup zalim kerana mula memberi kesan serius kepada mangsa termasuk mendorong untuk bunuh diri.

Pada akhirnya, kita berharap mana-mana individu yang menjadi mangsa buli siber tidak berdiam diri sebaliknya segera bertindak menyekat pembuli dan terus membuat laporan kepada pihak berkuasa. Selain itu, kita perlu ingat masalah buli siber tidak dapat diselesaikan sekiranya tiada tindakan kolektif daripada pelbagai pihak. Oleh itu, semua pihak yang terlibat hendaklah berganding bahu untuk memerangi kes ini sebelum lebih ramai lagi menjadi mangsa keadaan. Jangan biarkan buli siber menjadi pembunuh senyap.


Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 6:00 AM