GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suliati Asri

Sejak akhir-akhir ini, ramai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan akaun keldai.

Modus operandi sindiket akaun keldai ini juga semakin canggih dan tidak mudah untuk dikenal pasti oleh orang awam. Mungkin ramai dalam kalangan masyarakat menjadi mangsa penipuan kerana tidak tahu atau kurang pendedahan mengenai apakah sebenarnya sindiket akaun keldai.

Menyedari hakikat ini, CIMB terus komited untuk meningkatkan kesedaran tentang penipuan akaun keldai dalam kalangan orang awam mengenai taktik penipuan yang berkembang.


Apakah itu akaun keldai atau Mule Account?

Akaun keldai atau mule account adalah akaun yang digunakan sindiket penipuan untuk memindahkan wang tanpa dikesan yang diperoleh daripada aktiviti haram.

Akaun keldai ini juga sering kali tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penipu, tetapi dimiliki orang biasa yang mungkin tidak menyedari bahawa akaun mereka telah digunakan untuk tujuan pengubahan wang haram.


Bagaimana anda boleh terperangkap dalam menjadi mangsa akaun keldai?

Penipu akan menghubungi mangsa melalui pelbagai saluran seperti emel, iklan dalam talian atau platform media sosial seperti WhatsApp.

Selalunya, penipu akan menawarkan peluang mudah untuk menerima gaji lumayan melalui peluang pekerjaan yang luar biasa.

Proses permohonan pekerjaan ini mungkin menarik kerana ia mudah dan tidak memerlukan anda mengemukakan resume anda.

Jika anda terima tawaran ini, anda diminta menyerahkan butiran akaun perbankan anda atas alasan pemprosesan gaji yang palsu. Sebaliknya, akaun anda akan digunakan sebagai akaun keldai.

Selain itu, penipu juga akan menawarkan peluang sewa akaun bank dan mendapatkan wang dengan cara mudah dan cepat, yang sebenarnya bertujuan menggunakan akaun terbabit sebagai transit untuk mendepositkan wang haram.

Anda juga perlu berhati-hati dengan sebarang tawaran pinjaman wang tunai yang cepat dan mudah, kerana ia juga adalah salah satu taktik licik sindiket penipuan untuk menggunakan akaun anda sebagai akaun keldai.


Taktik manipulasi emosi mangsa

Bukan itu sahaja, penipu juga sering kali menggunakan taktik manipulasi emosi. Mereka akan menyamar sebagai kawan atau ahli keluarga mangsa yang terdesak untuk mendapatkan wang daripada mangsa.

Selain itu, penipu mungkin menggunakan identiti palsu atau catfishing untuk memikat mangsa secara romantik.

Apabila mangsa mula mempercayai penipu, penipu akan berpura-pura berada dalam keadaan terdesak dan meminta mangsa menyewakan akaun mereka.

Mangsa sudah jatuh cinta dengan penipu, akan menjadi pemegang akaun keldai tanpa disedari.

Selalunya mereka akan diarahkan memindahkan wang haram ke dalam akaun lain. Akaun mereka akan digunakan untuk pengubahan wang haram secara berterusan.

Oleh yang demikian, elak buka akaun bank baharu semata-mata untuk menerima dan memindahkan wang daripada orang tidak dikenali.

Anda juga perlu sentiasa berwaspada supaya tidak mudah terpedaya dengan komisen atau persetujuan yang menarik atau luar biasa hanya untuk menerima wang yang mungkin tidak disahkan.


Apa yang perlu dilakukan jika anda telah menjadi mangsa akaun keldai?

CIMB akan terus memastikan kesedaran berterusan mengenai risiko penipuan kepada orang ramai dan pentingnya untuk sentiasa berhati-hati dalam sebarang transaksi yang mencurigakan.

Jika anda mendapati akaun anda dimanipulasi sebagai akaun keldai, sila hubungi pihak bank masing-masing. Untuk pelanggan CIMB:

l Aktifkan fungsi Lock Clicks ID terlebih dahulu pada Aplikasi CIMB Clicks/CIMB OCTO untuk membekukan ID CIMB Clicks bagi menghalang sebarang transaksi dalam talian baharu berlaku.

l Maklumkan kepada pihak bank dengan menghubungi talian hotline masing-masing. Pelanggan CIMB boleh hubungi nombor telefon Pusat Panggilan Pengguna CIMB yang tertera di belakang kad anda di talian yang beroperasi 24/7.

l Mangsa juga dinasihatkan untuk meminta bank untuk menyahaktifkan akaun buat sementara waktu dan pastikan semua dokumen serta butiran berkaitan penipuan yang disyaki berlaku disimpan sebagai bukti jika diperlukan.

l CIMB mempunyai sistem yang menyeluruh untuk memerangi ancaman penipuan. Namun, pencegahan penipuan adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan usaha kolaborasi aktif dari semua lapisan masyarakat.

l Seperti yang disarankan oleh Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan, jangan lupa – 'Awas, Fikir, Blok' dan #JanganKenaScam.


Elak jadi mangsa akaun keldai

Masyarakat perlulah sentiasa berwaspada dengan sebarang iklan pekerjaan yang menjanjikan pulangan wang lumayan yang mungkin tidak bermunasabah terutamanya melalui platform yang tidak konvensional seperti platform media sosial.

Lakukan carian di syarikat yang menggaji untuk sahkan butiran hubungan dan identiti individu yang menawarkan pekerjaan itu kepada anda.

Jika anda menerima mesej daripada 'kawan' atau 'ahli keluarga' yang sedang terdesak untuk wang atas alasan yang mungkin tidak munasabah, hubungi mereka untuk mendapatkan kepastian.

Akhirnya, elakkan berurusan dengan individu yang mengkreditkan sejumlah wang yang besar ke akaun dan meminta anda memindahkannya ke akaun lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 7:02 AM