Buka akaun media sosial untuk apa? Untuk hukum atau lontar komen jelik pada pihak lain?

Tidak terkecuali, golongan yang sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat seperti golongan profesional dan tidak terkecuali individu yang berpenampilan Islamik.

Ikuti wawancara Pensyarah Kanan, Program Kaunseling Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ABDUL RASHID ABDUL AZIZ bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN bagi mengupas isu ini.


Media sosial kini jadi 'mahkamah' terbuka. Komen?

Ya benar, pada pandangan saya, medsos (media sosial) kini menjadi platform justifikasi keputusan dan sesuatu hukuman yang dibuat lebih awal sebelum 'mahkamah sendiri mengeluarkan keputusan sebenar.'

'Peguamnya' terdiri daripada mereka yang tidak berkelayakan, hanya bersandarkan lontaran emosi, fakta yang tiris dan isu yang dimanipulasikan.

Kecelaruan ini mengundang bahana emosi kepada pelayar medsos terutama dalam kalangan generasi muda.

Ini kerana menurut statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau SKMM (2019), golongan muda dalam julat usia 20-24 tahun adalah yang tertinggi melayari internet iaitu 15.6 peratus berbanding kategori umur lain.

Justeru, golongan ini perlu dibimbing dan sekiranya dibiarkan dalam mengadili sesuatu perkara, apatah lagi di luar kepakaran mereka, ia bakal mengundang tsunami emosi yang sentiasa bergelora dan tidak berkesudahan.


Media sosial digunakan untuk kepentingan diri sendiri dan salahkan pihak berkuasa. Benar atau sebaliknya?

Media sosial ini pada asasnya membabitkan individu dalam proses sosialisasi secara maya.

Dalam proses ini, berlaku pelbagai jenis interaksi seperti pemujukan (persuasive), hasutan, persepsi, telahan, ugutan dan juga penyebaran isu.

Secara psikologi, apa sahaja yang terpendam dalam jiwa akan diterjemahkan dalam pelbagai bentuk (medium), rupa (sikap) dan rasa (feeling).

Apa saya lihat kini, medsos menjadi tempat mengekspresi rasa tidak puas hati kepada individu atau pihak tertentu, termasuklah pihak berkuasa.

Hantaran dikongsi ini mewujudkan rantaian jangkitan 'rasa' kepada orang lain yang membaca dan kemudian menghukum dengan cara sendiri berdasarkan apa yang difahami atau terpendam seperti saya sebutkan tadi.



Ada individu guna media sosial untuk dedahkan itu dan ini seolah-olah menyalahkan pihak berkuasa namun tidak 100 peratus ceritakan kisah sebenar.

Perlu kita ingat, medsos ini mewakili satu masyarakat maya yang disebut 'netizen.'

Kelompok ini bergerak dan membentuk satu rantaian interaksi atau saling berhubung apabila wujudnya sesuatu isu.

Isu tersebut akan diperbesarkan, dimanipulasi dan ditokok tambah mengikut cita rasa sendiri.

Ada sebilangan mereka guna profil palsu, mewujudkan kumpulan khas dan kelompok medsos tertentu yang bertujuan untuk menghentam (bash), menyebarkan aib dan spekulasi bagi memenuhi agenda mereka.


Jaja kisah diri sendiri di media sosial seolah-olah mahu raih simpati ramai sedangkan realitinya, ia adalah sebaliknya.

Betul. Media sosial adalah medan untuk individu pada hari ini membuka aib, sama ada aib diri atau orang lain.

Malah, banyak kes fitnah, penipuan dan propaganda hasutan negatif sehingga membabitkan hukuman undang-undang dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia.

Malah, sekiranya pengguna medsos dibiar membuat hantaran sewenang-wenangnya tanpa saringan, ia menjadi proses meraih kepentingan peribadi dan dalam konteks ini, pastinya individu akan cenderung 'berat' kepada penceritaan yang memihak kepada diri mereka.

Bagi saya, pengguna medsos pada hari ini perlu bijak dalam menilai sesuatu isu yang menjadi hantaran dan perkongsian ramai.

Sekiranya belum keluar laporan lengkap daripada pihak berkuasa, semua perlu bersabar dan tenang menunggu.

Ini kerana negara kita mempunyai banyak saluran untuk mendapatkan keadilan dan meraih simpati di medsos hanya membawa kepada 'viralisasi cerita' yang memburukkan keadaan.


Dikompaun dalam jumlah sangat besar namun ada kisah di sebaliknya yang tidak diceritakan kepada umum, hanya seolah-olah salahkan pihak berkuasa. Wajarkah kompaun dikurangkan?

Dalam keadaan darurat hari ini yang mana kita diasak oleh pandemik membunuh secara senyap dan tidak dapat dilihat, kepentingan kolektif adalah lebih utama daripada kepentingan individu.

SOP dan norma baharu perlu dipatuhi dengan sebaiknya tanpa ada pengecualian.

Denda diberikan adalah satu 'vaksin' sosial bagi mendidik masyarakat supaya patuh kepada SOP dan semua arahan bagi memastikan keselamatan semua.

Ibarat peribahasa jangan kerana nila setitik, maka rosak susu sebelanga maka wajar kita meletakkan hukuman kepada mereka yang degil demi keselamatan awam dan mengelakkan negara terjerumus dalam kancah pandemik yang lebih berat seperti yang melanda India yang mencatat kematian setiap 4 minit disebabkan penularan Covid-19 yang tinggi.

Namun demikian, dalam menyantuni mereka yang benar-benar insaf, maka nilai kompaun terbabit boleh dipertimbangkan, setara dengan pengajaran yang harus diberikan kepada pesalah.


Tahap kewarasan pengguna media sosial hari ini?

Media sosial antara platform komunikasi yang popular terutama bagi golongan muda.

Hampir setiap hari kita menghabiskan masa melayari media sosial untuk membuat perkongsian peribadi dan apa sahaja urusan.

Oleh itu, media sosial juga memberi ancaman kepada aspek kesihatan mental dan kewarasan pelayar, susulan pengaruh dan desakan yang berlaku.

Tanpa disedari, media sosial menjadi platform meluahkan perasaan sama ada perasan sedih, gembira, keterujaan hinggakan medium ini ada kalanya menjadi tempat membuka aib diri sendiri
atau orang lain.

Jika dahulu, individu meluahkan perasaan kepada insan terdekat seperti ahli keluarga namun kini senario yang berlaku adalah berbeza.

Natijahnya, orang asing dapat mengetahui segala apa sahaja dikongsikan di layar media tersebut, sekali gus boleh membawa kepada implikasi buruk seperti penyebaran maklumat berunsur fitnah dan eksploitasi.

Justeru, menjaga aib adalah satu daripada sifat orang yang memiliki rasa malu.

Sekiranya individu berkaitan dapat mengawal diri dan menggunakan media sosial dengan baik, ia dapat memberi pulangan yang baik kepada diri sendiri.

Ini kerana, teknologi dan era digital yang berkembang pesat perlu disaring dengan ilmu dan iman bagi mengoptimumkan penggunaannya ke arah kebaikan dan dakwah agar dapat memberi manfaat, bukannya yang menjerumuskan diri ke lembah kehinaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 6:50 AM