Exco Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Cai Tung (duduk, tengah) bergambar bersama kanak-kanak yang menerima sumbangan serta sukarelawan ROLF di Johor Bahru. Foto : IZLAILY NURUL AIN HUSSEIN
Exco Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Cai Tung (duduk, tengah) bergambar bersama kanak-kanak yang menerima sumbangan serta sukarelawan ROLF di Johor Bahru. Foto : IZLAILY NURUL AIN HUSSEIN
Izlaily Nurul Ain Hussein


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memohon perintah mahkamah bagi mendapatkan hak penjagaan dan perlindungan dua orang adik kepada kanak-kanak berusia lima tahun yang maut akibat didera, Rabu lalu.

Permohonan itu akan dibuat selepas proses siasatan oleh polis dan hospital terhadap kedua-dua kanak-kanak berkenaan selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, JKM masih menunggu proses siasatan yang dilakukan itu selesai sebelum mendapatkan perintah mahkamah.

“Dua orang adik kepada mangsa dera yang maut itu kini berada dalam pengawasan polis dan hospital kerana masih diperlukan dalam proses siasatan memandangkan kedua-duanya turut disyaki didera.

“Jika pihak hospital sudah siap dengan perkembangan siasatan, JKM bersedia ke mahkamah untuk mendapatkan perintah membawa kedua-dua kanak-kanak ini ke rumah kebajikan,” katanya ketika ditemui pada program penyampaian sumbangan bantuan persekolahan oleh Rainbow Of Life Forces (ROLF) di Rumah Kebajikan Shan De di sini, hari ini.

Dua adik kepada mangsa dera itu masing-masing berusia empat tahun dan setahun itu turut disyaki didera dan kini ditempatkan di wad khas kanak-kanak, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk pemeriksaan lanjut berikutan dipercayai turut terdapat kesan kecederaan pada tubuh mereka.

Bapa kandung dan ibu tiri kanak-kanak yang maut didera itu, kini direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Rabu lalu, media melaporkan kanak-kanak berkenaan maut selepas disyaki didera oleh ibu tirinya di rumah mereka dekat Bandar Dato’ Onn di sini.

Mangsa yang dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dalam keadaan tidak sedarkan diri bagaimanapun disahkan meninggal dunia.

Polis kemudian mengesahkan punca kematian kanak-kanak berkenaan adalah disebabkan hentakan benda tumpul pada abdomen mangsa.

Terdapat juga kesan lebam dan bengkak pada kanan muka, dada, perut serta kedua-dua betis mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 6:19 PM