Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: Wanita melecur hampir keseluruhan badan selepas tong gas petroleum cecair (LPG) meletup di sebuah rumah di Taman Sena Permai, di sini, 8 pagi tadi.

Ketika kejadian, mangsa yang berusia 26 tahun dilaporkan ingin menggoreng ikan sebelum gas memasak itu tiba-tiba meletup hingga memusnahkan rumah dua tingkat didiaminya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Mohamad Hazam Hassan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 8.13 pagi.

"Tiba di lokasi, kami dapati mangsa sudah dibawa keluar oleh jiran.

"Mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya dihubungi.

KEADAAN rumah wanita di Taman Sena Permai selepas gas LPG meletup, hari ini. FOTO Danial Saad.
KEADAAN rumah wanita di Taman Sena Permai selepas gas LPG meletup, hari ini. FOTO Danial Saad.

Menurutnya, insiden itu turut menyebabkan sebuah kereta dan motosikal di ruang hadapan rumah rosak.

Difahamkan, mangsa yang bakal mendirikan rumah tangga pada Januari depan mendiami rumah itu bersama adik lelaki dan isterinya.

Mohd Hazam berkata, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 1:18 PM