Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz dan Mohamad Azim Fitri Abdul Aziz


LIMA maut termasuk seorang kanak-kanak lelaki dalam kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda dan dua kereta di Batu 13, Jalan Kuantan-Temerloh, Maran 3 petang hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, kemalangan membabitkan Toyota Hilux, Proton Iswara dan Perodua Myvi itu menyebabkan lima mangsa maut di tempat kejadian.

“Kami terima panggilan 2.48 petang sebelum satu jentera bersama pegawai dan lima anggota dikejarkan ke lokasi.

“Anggota bomba menggunakan peralatan khas memotong besi bagi mengeluarkan dua mangsa yang tersepit,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Jengka manakala tiga yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk menerima rawatan.

Katanya, semua identiti mangsa belum dikenal pasti dan pihaknya sudah menyerahkan kes itu kepada polis.

Kemalangan tiga kenderaan yang menyebabkan lima maut. FOTO Ihsan Bomba
Kemalangan tiga kenderaan yang menyebabkan lima maut. FOTO Ihsan Bomba

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kemalangan.

“Kita sedang kenal pasti semua identiti mangsa dan punca kemalangan berlaku.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 5:54 PM