NASRULLAH (kanan) yakin pasukannya beroleh kemenangan di Kuantan.
NASRULLAH (kanan) yakin pasukannya beroleh kemenangan di Kuantan.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas berada pada kedudukan berpotensi untuk mengisi slot ke saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan, skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) menjanjikan aksi habis-habisan pada perlawanan penentuan, malam esok.

Pasukan bimbingan K Devan itu bakal membuat perhitungan dengan Sri Pahang FC, pada aksi penutup tirai saingan Liga Super musim ini, di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Penolong ketua pasukan, Nasrullah Haniff Johan berkata, dia dan rakan sepasukan sudah bersedia dari segala aspek untuk memperagakan aksi mantap dalam misi mendapatkan tiga mata.

"Secara keseluruhan pasukan sudah bersedia dengan barisan pemain terbaik bagi menentang Pahang dan kami akan tampil dengan persembahan habis-habisan, malam esok.

"Walaupun persiapan hanya dapat dilakukan dalam tempoh singkat selepas perlawanan menentang Melaka United FC, Selasa lalu, tetapi ia dapat dilakukan dengan lancar dan sempurna.

"Kami berkeyakinan tinggi untuk mendapatkan kemenangan bagi tidak mensesia-siakan peluang yang ada untuk layak ke saingan Piala AFC, musim depan," katanya di sini, hari ini..

Nasrullah yang membantu skuad Hobin Jang Hobin menjulang kejuaraan Liga Perdana musim lalu, mempunyai misi tersendiri iaitu mahu memahatkan jalan cerita lebih manis tahun ini dengan membawa pasukan itu layak ke saingan Piala AFC 2023.

Bagi pemain berasal dari Sikamat, Seremban ini, biarpun peluang itu akan bergantung kepada keputusan dua perlawanan lain membabitkan Sabah FC dan Johor Darul Ta`zim (JDT) serta Terengganu Fc (TFC) dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC, namun dia enggan memikirkan situasi berkenaan.

"Fokus kami untuk menang ke atas Pahang dan seterusnya melihat peluang untuk mengisi slot ke saingan Piala AFC 2023. Jadi, saya dan rakan-rakan tidak mahu mensia-siakan kesempatan yang terhidang ini dan alang-alang peluang yang ada itu, kami perlu memanfaatkan sebaik mungkin pada perlawanan penentuan ini."

Saya yakin momentum kemenangan yang dicipta ke atas Kedah dan Melaka, mampu diterjemahkan seterusnya ke atas Pahang," kata bekas pemain TFC antara 2017 hingga 2020 itu.

Dikenali sebagai seorang pertahanan berpengalaman, Nasrullah, 31, antara tunjang kekuatan di benteng Negeri Sembilan musim ini bersama Herold Goulon dan Che Rashid Che Halim.

Negeri Sembilan yang berada di tangga keempat carta Liga Super dengan mengumpul 41 mata perlu menang ke atas Pahang untuk layak mengisi slot ke saingan Piala AFC 2023, sambil mengharapkan Sabah dan TFC, salah satunya tewas dalam perlawanan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 6:03 PM