FOTO Aziah Azmee
FOTO Aziah Azmee

Norhayati Nordin

[email protected]

BOLEH dianggap lengkap kehidupan seorang lelaki dan wanita, apabila masing-masing sudah dipertemukan dengan teman hidup.

Namun, bagi mencari pasangan yang serasi dengan jiwa itu ada kala berlaku dalam masa singkat dan tak kurang juga bertahun-tahun lamanya.

Bagi pelakon drama, Farah Nabilah Saipuddin, 27, hubungan cinta yang dijalin sejak tujuh tahun lalu semakin dekat ke arah menghitung hari bahagia.

Mengikut perancangan, Farah akan disatukan dengan lelaki pilihan, Mohammed Amirul Yunus, 28, pada 20 Disember ini.

Berbicara mengenai percintaan indahnya, Farah berkata, Amirul cekal dalam usaha menawan hatinya.

“Selepas segala usaha dilakukan dan kesabarannya, kami kini menanti hari untuk melangkah ke fasa perkahwinan yang dirancang.

“Saya bersyukur apa yang kami cuba atur untuk majlis bersejarah nanti berjalan lancar dan semoga semuanya dipermudahkan Allah SWT,” katanya.

Menurut Farah yang dikenali menerusi drama Titian Cinta siaran TV3, walaupun dia tidak mencanang hubungan cintanya, dugaan tetap ada.

“Sebagai pasangan kekasih, hubungan saya dan Amirul sebenarnya dijalin secara jarak jauh kerana komitmen kerjaya.

“Ini kerana, sebagai pelakon saya sibuk dengan jadual penggambaran dan aktiviti lain yang berkaitan. Sebagai juruterbang, tuntutan tugasnya memerlukan Amirul selalu berada di luar negara.

“Maka, apa yang boleh mengikatkan kami untuk terus yakin dan setia pada hubungan percintaan dibina adalah kepercayaan antara satu sama lain,” katanya.

FARAH Nabilah. FOTO Nurul Shafina Jemenon
FARAH Nabilah. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Menurut Farah, dia juga tidak pernah meragui kesetiaan bakal suaminya walaupun ada pasang surut dalam hubungan.

“Kami tidaklah sentiasa bahagia. Ada juga rajuk, sedih dan emosinya apabila diuji. Bagaimanapun, kami selesa berbincang kerana sama-sama sudah matang. Lagipun sudah lama kenal,” katanya.

Menurut Farah, apa yang menyenangkan dia dengan sikap Amirul ialah pemuda itu sangat pandai mengambil hati.

Mengulas juga perkongsian gambar bahagia bersama menerusi media sosial terutama Instagram selepas berumah tangga, Farah berkata, semestinya tidak perlu berahsia lagi.

Apapun, selaku selebriti, dia mengambil langkah berkongsi kisah peribadi secara berpada-pada buat tatapan peminat.

Majlis perkahwinan Farah dan Amirul akan berlangsung pada 21 dan 28 Disember diikuti satu lagi majlis persandingan pada 5 Januari 2020.

TIADA SEKATAN TERUS BERLAKON

Hampir lapan tahun aktif berlakon, tak dinafikan nama dan bakat Farah semakin mekar di hati peminatnya.

Apatah lagi, Farah juga boleh dilabelkan pelakon yang bersih daripada kisah sensasi dan hanya terpalit dengan gosip cinta.

Berbicara mengenai hala tuju perjalanan kerjaya lakonannya selepas berkahwin, Farah berkata, Amirul tidak menghalang dia untuk terus berlakon.

PELAKON Farah Nabilah besama pasangannya Mohammed Amirul Yunus pada majlis pengumuman  tarikh perkahwinan mereka yang bakal berlansung pada 20 Disember depan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
PELAKON Farah Nabilah besama pasangannya Mohammed Amirul Yunus pada majlis pengumuman tarikh perkahwinan mereka yang bakal berlansung pada 20 Disember depan. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.

“Amirul sangat menghormati kerjaya saya. Dia juga memahami tuntutan tanggungjawab saya sebagai insan seni. Apapun, sebagai wanita yang bakal berstatus isteri, tentu saya akan utamakan restu suami.

“Saya juga akan pastikan tidak melakukan babak bersentuhan. Bagi saya, untuk mewujudkan keserasian dan kemesraan dengan rakan pelakon tidak perlu pun bersentuhan,” katanya.

Menurut Farah, sejak mengenali Amirul, dia sering berbincang dengan Amirul untuk tawaran watak diterimanya.

“Saya sebenarnya sudah biasa mendapatkan pendapat Amirul terhadap sesuatu tawaran berlakon. Jadi, saya berasakan tentu tidak ada masalah untuk kami apabila sudah berumah tangga dan hidup bersama nanti,” katanya.

Farah berkata, apapun dia tetap akur keutamaannya sebagai isteri terhadap keperluan suami dan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 5:05 AM