WAWA Zainal
WAWA Zainal
Sudirman Mohd Tahir


Membina kerjaya lakonan sejak 11 tahun lalu membawa nama Wawa Zainal terus utuh dalam industri hiburan tanah air. Malah, dia pernah suatu ketika berada di puncak populariti dan kegemilangan.

Malah, keputusan untuk mula memperlahankan aktiviti seni selepas berkahwin dengan suami yang juga pelakon, Aeril Zafrel dianggap tindakan kurang bijak apatah lagi ketika namanya masih menjadi rebutan penerbit dan stesen TV.

Namun, keyakinan Wawa, 31, atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin pada rezeki dan ketentuan Allah SWT membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila dia kini menjadi antara selebriti serta usahawan berjaya menerusi empayar perniagaan Wawa Cosmetics.

Sejak itu juga, Wawa yang pernah popular menerusi filem 99 Kali Rindu tidak sunyi daripada mendapat perhatian netizen. Apa saja paparan yang dikongsi di laman sosial mengundang rasa kurang senang.

Bagi Wawa yang juga ibu kepada empat cahaya mata, prinsip hidupnya mudah iaitu sentiasa menghormati setiap pandangan yang dilemparkan terhadap diri, suami dan keluarganya.

"Sebenarnya kita pusinglah sejauh mana pun, kita tak akan boleh puaskan hati semua orang. Kalau ada yang tak puas hati itu saya tetap hormat mereka. Mesti ada sebab dan pandangan mereka tersendiri. Tapi untuk menjaga kesihatan mental, saya dan suami tak layan semua itu.

"Sudah tentu pernah terasa hati apabila terbaca. Tapi, saya abaikan sebab masing-masing ada pandangan tersendiri. Jadi, kami pun tak akan mampu nak menjeskan apa-apa. Sebagai contoh, mereka tak puas hati dalam satu isu itu, tak akan kita nak jelaskan. Macam kita pula perlu melayan mereka," katanya.

Adat dunia perniagaan, pasti ada strategi yang dibuat bagi mempromosikan produk mereka. Apa yang membezakan adalah pendekatan bagaimana yang digunakan.

Menurut Wawa, sepanjang pembabitannya dalam dunia perniagaan bersama suami, gimik murahan bukanlah pilihan mereka.

"Pada saya masing-masing punya cara dalam berniaga dan mempromosikan produk. Tapi saya tak berapa gemarlah gimik murahan ini. Memanglah orang akan nampak kita tapi dari sudut negatif jadi tidak okey juga.

"Saya tak pasti yang buat gimik murahan ini mereka dapat tukarkan kepada jualan atau tidak. Orang tak akan beli produk kita kalau dah tahu perkara negatif mengenai kita. Saya fikir ia tak okey," katanya.

Jodoh 10 tahun

Di sebalik kejayaan dibina, warna-warni kehidupan rumah tangga dilalui Wawa juga antara yang sering mendapat perhatian.

Gelagat dan aksi bersahaja Wawa dan Aeril di media sosial sentiasa menerima pujian.

Bagi Wawa, resipi 10 tahun bertahan dalam perkahwinan adalah persefahaman dan saling bertolak ansur dengan pasangan.

"Soal jodoh ini di tangan Tuhan. Macam saya sudah 10 tahun melayari bahtera rumah tangga. Memanglah ada pasang surutnya, tetapi apa yang kita boleh buat ialah perbaiki hubungan. Kita sentiasa mempertahankan, ingat dulu apa tujuan perkahwinan masa mula-mula.

"Semua orang tak nak bercerai-berai. Jadi, kena sehati sejiwa dalam apa saja tindakan, bertolak ansur dan jangan perbesarkan perkara yang remeh-temeh. Kena selalu berbincang dan cari jalan macam mana nak kembalikan memori bersama dan perlu sentiasa wujudkan rasa keterujaan dalam perkahwinan itu," katanya.

Pada masa sama, Wawa juga berterima kasih jika ada mana-mana pasangan yang menjadikan dia dan Aeril sebagai contoh.

"Alhamdulillah, kalau ada yang menjadikan kami sebagai contoh dalam berpasangan. Mungkin mereka boleh menjadikan kami sebagai contoh tapi tak adalah saya nak cakap 10 tahun itu sangat lama. Bahkan ada saja yang dah kahwin sampai belasan tahun tapi jodoh tak panjang.

"Saya tak cakap kami ini pasangan sempurna. Kami sentiasa melengkapkan antara satu sama lain, maksudnya memperbaiki apa yang tak okey dalam rumah tangga. Kami ini tak sempurna sangat tapi kalau nak jadikan kami sebagai contoh itu ambil daripada sudut positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 6:00 AM