AERIL bersyukur dihujani pelbagai tawaran meskipun sudah meningkat usia dan berkahwin.
AERIL bersyukur dihujani pelbagai tawaran meskipun sudah meningkat usia dan berkahwin.
Najiy Jefri


Memiliki raut wajah tampan dan bergaya ternyata memberikan rezeki berganda buat pelakon Aeril Zafrel apabila tidak putus dilamar menjadi wajah kepada beberapa jenama tempatan.

Biarpun sudah berusia 35 tahun dan memiliki empat cahaya mata, Aeril sentiasa mengingatkan diri untuk bersyukur dengan setiap rezeki yang Tuhan berikan.

"Saya bersyukur dengan segala nikmat yang Allah SWT berikan. Terlalu banyak rezeki yang saya terima.

"Setiap apa yang saya lalui hari ini membuatkan saya bersyukur terutama jika melihat semula kehidupan lalu. Saya tidak akan sesekali lupa segala kepayahan yang pernah saya tempuh ketika mahu membina nama Aeril Zafrel," katanya.

Aeril berkata demikian ketika ditemui selepas gimik pembukaan tirai pertunjukan fesyen koleksi baju Melayu, kolaborasi pertama Aeril dengan jenama fesyen wanita terkenal sempena lebaran tahun ini.

Pada acara yang dipenuhi dengan persembahan selebriti ternama seperti Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel itu, Aeril Zafrel kelihatan segak berbaju Melayu biru dan tampil dengan kejutan apabila menghampiri Wawa Zainal yang disumpah tidur dan tidak boleh bangkit sehingga dapat menemui cinta sejati.

Pada acara yang berlangsung di sebuah hotel ternama di ibu kota, Wawa diusung dengan pedati oleh beberapa orang kerdil di tengah-tengah laluan pentas. Lebih manis, ketika Aeril mencium dahi Wawa, sumpahan itu berakhir dan penonton yang hadir nyata terhibur dengan lakonan romantis pasangan selebriti ini.

Bahagia melayari kehidupan suami isteri, Aeril bagaimanapun tidak boleh menipu apabila pernah melalui fasa ujian dalam rumah tangga.

"Tipulah kalau individu yang sudah berkahwin tiada masalah atau perselisihan faham. Kalau diikutkan waktu awal perkahwinan pun kami diuji macam-macam, tapi apa yang penting adalah kami perlu saling memberikan sokongan dan memaafkan.

AERIL mengaku setiap pasangan  yang berkahwin pasti pernah melalui fasa ujian rumah tangga.
AERIL mengaku setiap pasangan yang berkahwin pasti pernah melalui fasa ujian rumah tangga.

"Saya akui waktu awal perkahwinan pasti ada pergaduhan kecil kerana waktu itu kita akan mengenali pasangan kita secara total. Namun sebagai suami isteri kita perlu cuba selami dan faham perangai masing-masing dan memperbaikinya," katanya.

Dalam pada itu, Aeril turut membuka rahsia dilamar jenama terkenal itu sejak dua tahun lalu sebelum bersetuju untuk memberi komitmen penuh bagi penghasilan baju Melayu sempena lebaran tahun ini.

"Saya mengambil masa lama kerana sibuk dengan komitmen lain tetapi setelah lihat prestasi Wawa bersama jenama itu, saya rasa masanya sudah sampai.

"Saya berharap kolaborasi dengan Ahmad Syafiq Hilmi dan isterinya, Nur Alwani @ Wanie Elena selaku pengasas jenama terbabit akan memberi peluang kepada saya untuk terus menempa nama dan relevan dalam bidang seni," katanya.

Dalam pada itu, Aeril turut diminta mengulas mengenai berita panas seorang pelakon lelaki yang didakwa mengasari isterinya.

Aeril berkata, dia sentiasa mengingatkan dirinya supaya tidak mengasari mana-mana individu termasuk isteri dan anak-anak.

"Kalau marah macam mana sekali pun, saya tidak akan angkat tangan terhadap isteri dan anak-anak.

AERIL Zafrel kini syukur terima lamaran daripada beberapa jenama tempatan.
AERIL Zafrel kini syukur terima lamaran daripada beberapa jenama tempatan.

"Tindakan itu tidak wajar dilakukan. Saya pernah trauma apabila sewaktu kecil bapa saya terlampau garang. Kadang-kadang berdarah-darah kena pukul.

"Jadi, saya berjanji takkan buat perkara sama kepada orang terdekat dengan saya, terutamanya anak-anak kerana saya pernah mengalami situasi itu.

"Saya sebagai anak kecil sewaktu itu rasa sangat tak selesa. Malah, dalam rumah saya pun, saya takkan berkasar, mahu pun kepada pembantu rumah saya," katanya.

Dalam masa sama, Aeril berkata, dia mempunyai cara tersendiri untuk mengawal kemarahan sekiranya berdepan situasi tegang membabitkan insan tersayang.

"Personaliti saya tegas dan garang tapi untuk sampai tahap menjerit-jerit, angkat tangan, saya tak tergamak melakukan perkara itu.

"Mungkin saya tak diuji lagi sampai ke tahap itu tapi Alhamdulillah, kalau marah macam mana pun saya akan cepat-cepat istighfar. Saya pun tak berani nak cakap lebih-lebih sebab lain orang lain ujiannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 6:40 AM