GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Tiada lagi saman dikeluarkan terhadap individu yang tidak mengenakan pelitup muka di tempat awam kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata, pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu dan pengumuman itu dibuat berkuat kuasa pada minggu lalu.

"Kerajaan tidak lagi akan keluarkan lagi saman di bawah Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Jadi kita perlu menjaga diri sendiri dan mengamalkan norma baharu termasuk memakai pelitup muka sekiranya mempunyai simptom Covid-19 dan mengasingkan diri sendiri selain membuat laporan dalam aplikasi MySejahtera," katanya selepas sidang media sempena Perbincangan Meja Bulat Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YPOUBM) di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Pemegang Amanah yayasan itu Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Latif Mohamad.

Dr Noor Azmi berkata orang ramai bagaimanapun digalakkan memakai pelitup muka di tempat sesak dan pemakaian diwajibkan ketika menaiki pengangkutan awam atau berada di fasiliti kesihatan.

Terdahulu media melaporkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu namun pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau sebaliknya.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia sedang menunggu pengisytiharan untuk negara ini memasuki fasa endemik Covid-19 kerana sudah merekodkan jumlah jangkitan kes yang rendah dalam kalangan komuniti ketika ini.

Menurutnya pengisytiharan itu bergantung kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menentukan status fasa endemik sesebuah negara.

DR Noor Azmi (tengah) ketika  sidang media selepas merasmikan Majlis Perbincangan Meja Bulat YPOUBM. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
DR Noor Azmi (tengah) ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Perbincangan Meja Bulat YPOUBM. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 4:22 PM