Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan melakukan penindasan terhadap pengusaha vape susulan serbuan dan rampasan, Ogos lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, serbuan yang dibuat KKM itu mungkin ada sebab tertentu dan bukanlah untuk menganiaya mana-mana pihak.

"KKM tidak menindas sesiapa. Kita nak jaga rakyat.

"Jadi tindakan serbuan dan rampasan yang dibuat ada sebab tersendiri dan berdasarkan peraturan dan undang-undang sepatutnya.

"Bagaimanapun perkara ini kita akan buat siasatan lanjut," katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Latihan Pertolongan Cemas dan Penggunaan Alat Automated Extermal Deforbrillator (AED) di Zoo Taiping di sini, hari ini.

Ditanya mengenai akta vape, beliau menegaskan akta itu (tembakau) yang baru dibentangkan di Parlimen akan dibahaskan pada sesi yang akan datang.

"Bagaimanapun pihak KKM masih membuat pemantauan tentang undang-undang yang dahulu yang kekal dalam akta makanan iaitu peraturan mengenai tembakau iaitu dimana kawasan yang boleh merokok dan sebaliknya.

"Berkenaan dengan vape ini, belum ada undang-undang yang mengawalnya sebab itu kerajaan akan wujudkan akta khas ini," katanya.

NOOR Azmi (kiri) meletakkan AED di tempat khas di Zoo Taiping. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
NOOR Azmi (kiri) meletakkan AED di tempat khas di Zoo Taiping. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 4:06 PM