MAZLIHAM  (dua dari kiri) berjabat tangan dan menyerahkan dokumen MoU kepada  Syed Yazid Syed Omar.
MAZLIHAM (dua dari kiri) berjabat tangan dan menyerahkan dokumen MoU kepada Syed Yazid Syed Omar.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mengorak langkah proaktif dalam melahirkan pemain bola sepak berilmu apabila menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Universiti Multimedia (MMU).

Naib Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar berkata, hasil kerjasama itu menyaksikan kedua-dua pihak bakal meraih manfaat termasuk memberi peluang kepada pemain benaung di bawah KLFA untuk melanjutkan pelajaran di MMU.

Malah, ia juga bakal meningkatkan lagi bakat bola sepak dalam kalangan pelajar MMU.

"KLFA mengucapkan terima kasih dan menyambut baik MoU ini kerana ia akan beri manfaat besar kepada pemain muda di mana di samping bermain bola sepak, pelajaran juga penting," katanya yang juga Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Majlis MoU itu ditandatangani Syed Yazid dan Presiden MMU, Professor Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud di kampus induk MMU di Cyberjaya, Isnin lalu.

Mazliham yang gembira dengan kerjasama itu turut menyifatkan ia satu lonjakan besar dalam pembangunan sukan di MMU dan boleh meningkatkan tahap kemahiran pemain MMU untuk menghadapi Liga IPT.

"Saya amat berbesar hati dengan kesediaan KLFA dalam membina hubungan kerjasama ini. Menjadi harapan kami agar pemain MMU mendapat latihan intensif yang akan membantu kami muncul sebagai IPTS pertama menjuarai Liga IPT.

"Perjanjian ini juga membolehkan pemain yang bernaung di bawah KLFA mendapat akses ke pendidikan tinggi menerusi pelbagai program ditawarkan MMU yang boleh membantu mereka menceburi pelbagai lagi bidang selepas mengakhiri kerjaya sebagai pemain bola sepak," kata Mazliham.

MMU mempunyai tiga pelajar yang kini bermain bersama skuad Piala Presiden Kuala Lumpur City manakala dua lagi pemain beraksi buat skuad Piala Belia Kuala Lumpur City dan mengakhiri kempen Divisyen 1 Liga IPT di tangga keenam musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 2:10 PM