ARUL Kanda. FOTO Arkib NSTP
ARUL Kanda. FOTO Arkib NSTP
Wartawan NSTP


BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dijangka didakwa di mahkamah esok.

Ia selepas beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, pagi ini.

Arul Kanda hadir bagi memberi keterangan berhubung isu pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Peguam mewakili Arul Kanda, Datuk N Sivananthan berkata, anak guamnya akan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa.

"Beliau akan didakwa bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, esok.

"Arul tidak dibenarkan ikat jamin dan akan bermalam di lokap SPRM sebelum dibawa ke Mahkamah Jalan Duta (Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) pagi esok," katanya dalam sidang media di perkarangan lobi ibu pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Arul Kanda tiba di bangunan itu dipercayai menggunakan laluan belakang, pada 9.37 pagi.

Arul Kanda dilihat berpakaian kemeja biru muda berseluar gelap selain turut mengenakan topi besbol berwarna biru gelap.

Terdahulu, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa turut kelihatan hadir ke bangunan itu, beberapa minit awal sebelum kehadiran Arul Kanda.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan tujuan kehadiran beliau, namun ia dipercayai bagi membantu siasatan isu sama.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM masih dalam proses merakam keterangan semua individu yang dikaitkan dengan isu pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB termasuk Arul Kanda dan Ali.

Kesemua individu yang dikaitkan dengan dakwaan pindaan itu mula dipanggil sejak dua minggu lalu.

Antara individu lain yang sudah dirakam keterangan termasuk Najib, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, pegawai Jabatan Audit Negara dan pegawai Kementerian Kewangan.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan Najib mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 11:16 AM