MOHD Iqbal (tiga dari kanan)  menunjukkan hasil rampasan kes pecah amanah pekerja kedai emas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
MOHD Iqbal (tiga dari kanan) menunjukkan hasil rampasan kes pecah amanah pekerja kedai emas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Komplot jenayah antara seorang wanita dan pekerja kedai menjual barangan kemas untuk mencuri emas terbongkar selepas ditahan polis semalam.

Menerusi operasi bermula jam 7 pagi hingga 9 malam itu, suspek utama iaitu pemborong emas yang dikenali sebagai Sally, 42, ditahan di sebuah pangsapuri di Bandar Puteri Puchong.

Turut ditahan ialah adik lelaki Sally serta tujuh individu iaitu pemilik dan pekerja kedai pajak gadai di sekitar Seksyen 25; Seksyen 17 dan, Seksyen 9 yang mana kesemuanya berusia 25 hingga 70 tahun.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, jenayah itu terbongkar selepas pihaknya menerima laporan polis daripada seorang pemilik kedai emas di Seksyen 7 dekat sini, pada 31 Julai lalu.

Katanya, berdasarkan laporan yang dibuat, pemilik kedai emas itu mendapati berlaku kekurangan stok emas kira-kira 1.5 kilogram yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta selepas audit dilakukan.

"Hasil pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) premis itu mendapati seorang pekerja wanita sentiasa berurusan dengan seorang pemborong emas bernama Sally.

"Berdasarkan semakan terdapat urusan transaksi yang mencurigakan yang mana pekerja ini memberikan timbangan berlebihan kepada Sally iaitu 300 hingga 500 gram (g) bagi setiap transaksi dilakukan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, satu gram emas dianggarkan bernilai RM252 dengan kerugian bagi berat timbangan satu transaksi mencecah antara RM50,000 hingga RM75,000.

Katanya, Sally dipercayai terbabit dalam kegiatan curi timbangan emas sejak tahun lalu bagaimanapun mula berurusan dengan pekerja wanita itu sejak Jun lalu sebelum ditahan polis.

"Polis mendapati lebih 150 transaksi dilakukan dan pekerja wanita itu akan memperolehi RM3,000 daripada suspek bagi setiap transaksi dilakukan," katanya.

Mohd Iqbal berkata, menerusi tangkapan itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM414,700, 80 barangan kemas pelbagai jenis, 10 unit telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kenderaan jenis Toyota Harrier dan pelbagai dokumen berkaitan termasuk resit pajak gadai.

"Semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan tiga suspek iaitu Sally, adik lelakinya dan pekerja kedai emas itu kini direman antara empat dan enam hari," katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 6:25 PM