THUSITHA menunggang basikal untuk ke tempat kerjanya di Colombo. -FOTO  Reuters
THUSITHA menunggang basikal untuk ke tempat kerjanya di Colombo. -FOTO Reuters
Agensi

Colombo: Sejak dua minggu lalu, seorang doktor di Sri Lanka, Thusitha Kahaduwa, terpaksa meletakkan keretanya di garaj.

Beliau kini hanya menggunakan basikal untuk bertemu pesakitnya setiap hari di bandar ini.

Lelaki berusia 41 tahun itu adalah antara ribuan rakyat Sri Lanka yang kebanyakannya profesional kelas pertengahan kini beralih kepada pengangkutan dua roda dalam aktiviti seharian.

Mereka kini berbasikal ke tempat kerja, membeli barang runcit selepas negara itu terperangkap dalam krisis ekonomi terburuk sejak merdeka pada 1948.

"Keadaan ini menyebabkan orang ramai beratur dua hingga tiga jam untuk membeli bekalan petrol di stesen minyak.

"Saya juga sebelum ini terpaksa beratur selama tiga hari untuk membeli petrol. Kini, saya membeli basikal," katanya.

Rizab mata wang Sri Lanka menghampiri sifar, bermakna import baja, makanan dan ubat untuk 22 juta penduduknya juga semakin perlahan.

Tiada penghantaran baharu minyak tiba di negara itu, sejak kira-kira dua minggu lalu, dan kerajaan juga sudah menutup sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 7:00 AM