Orang ramai beratur panjang untuk membeli minyak tanah di Colombo, Sri Lanka. - FOTO Reuters
Orang ramai beratur panjang untuk membeli minyak tanah di Colombo, Sri Lanka. - FOTO Reuters
Reuters

Colombo: Polis Sri Lanka berkata, dua lelaki tumbang dan meninggal dunia ketika sedang beratur menanti giliran untuk mendapatkan bahan api, berikutan peningkatan harga bahan berkenaan.

Kedua-dua lelaki berkenaan berusia 70-an, meninggal dunia ketika beratur untuk membeli petrol dan minyak tanah dalam kejadian berasingan, kata jurucakap polis Nalin Thalduwa.

"Seorang mangsa berusia 70 tahun adalah pesakit diabetes dan mempunyai masalah jantung serta memandu kenderaan roda tiga manakala, seorang lagi mangsa berusia 72 tahun.

"Kedua-duanya beratur selama empat jam untuk membeli bahan api," katanya.

Sejak beberapa minggu, orang ramai beratur panjang di pam minyak selama beberapa jam dan negara turut berdepan pemotongan bekalan elektrik.

Pada Ahad Sri Lanka menggantung operasi di satu-satunya loji penapisan bahan apinya selepas stok minyak mentah kehabisan, kata Presiden Kesatuan Pekerja Am Petroleum, Ashoka Ranwala.

Kementerian tenaga tidak dapat dihubungi segera untuk mendapatkan ulasan.

Penggunaan minyak tanah telah meningkat selepas keluarga berpendapatan rendah mula beralih daripada penggunaan gas untuk memasak akibat kenaikan harga.

Pada Ahad, Laugfs Gas, pembekal kedua terbesar negara itu menaikkan harga sebanyak 1,359 rupee (RM20.54) untuk silinder 12.5 kg, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 6:19 PM