BARISAN panjang kenderaan selepas pengguna cuba mendapatkan bekalan bahan api dari stesen minyak di Colombo. FOTO AFP
BARISAN panjang kenderaan selepas pengguna cuba mendapatkan bekalan bahan api dari stesen minyak di Colombo. FOTO AFP
AFP

Colombo: Sri Lanka semalam melaporkan mempunyai baki bahan api kurang daripada sehari, kata menteri tenaga, dengan pengangkutan awam terpaksa dihentikan akibat krisis ekonomi negara itu semakin meruncing.

Barisan kenderaan beratur panjang sejauh beberapa kilometer apabila pengguna cuba mendapatkan bekalan petrol dan diesel di ibu kota walaupun kebanyakan stesen pam tidak ada minyak selama beberapa hari.

Menteri Tenaga Kanchana Wijesekera berkata, rizab petrol di negara ini adalah kira-kira 4,000 tan, di bawah nilai penggunaan sehari.

"Penghantaran petrol seterusnya dijangka antara 22 dan 23 (Julai)," kata Wijesekera kepada pemberita di Colombo.

"Kami menghubungi pembekal lain, tetapi kami tidak dapat mengesahkan sebarang bekalan baharu sebelum 22 Julai," katanya.

Minggu lalu, Sri Lanka yang kekurangan wang mengumumkan menghentikan sementara dalam tempoh dua minggu, untuk semua penjualan bahan api, kecuali perkhidmatan penting untuk menjimatkan petrol dan diesel bagi tujuan kecemasan.

Kebanyakan kedai ditutup Ahad dengan keadaan dijangka bertambah buruk apabila bank dan pejabat dibuka semula pada Isnin.

Orang ramai yang terdesak dilihat cuba melambai beberapa kenderaan di jalan raya dengan harapan dapat menumpang kenderaan berkenaan.

Pengusaha bas milik persendirian, yang merangkumi dua pertiga daripada pengangkutan awam negara berkata, pihaknya mengendalikan operasi perkhidmatan amat terhad pada Ahad kerana terjejas teruk akibat kekurangan bahan api.

"Keadaan sudah tentu akan menjadi lebih teruk esok (hari ini) kerana kita tidak mempunyai cara untuk mendapatkan diesel," katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan akan dikurangkan lagi pada Isnin dan tidak melihat penyelesaian segera.

Teksi tiga roda, pengangkutan jarak jauh yang popular juga tidak dilihat di jalan raya, dengan kebanyakannya dilihat dalam barisan selama berhari-hari untuk mendapatkan bekalan bahan api iaitu catuan sebanyak enam liter petrol.

Kekurangan mata wang asing untuk membiayai walaupun import yang paling penting membawa kepada krisis ekonomi terburuk negara dengan 22 juta penduduknya menghadapi kesukaran yang teruk setiap hari.

Negara ini juga menghadapi rekod inflasi yang tinggi dan gangguan bekalan elektrik yang berpanjangan sejak akhir tahun lalu.

Semua institusi dan sekolah kerajaan yang tidak penting diarah tutup sehingga 10 Julai untuk mengurangkan perjalanan dan menjimatkan tenaga.

Media tempatan melaporkan berlaku insiden di luar stesen minyak.

Minggu lalu, tentera melepaskan tembakan untuk menyuraikan perusuh yang membantah tentera melompat barisan.

Sri Lanka kini sedang berunding dengan Tabung Kewangan Antarabangsa untuk langkah penyelamatan selepas negara itu gagal membayar hutang luar negerinya sebanyak AS$51 bilion (kira-kira RM225 bilion) pada April.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 11:07 AM