FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
Mohd Shukor Amin


AKTIVITI sekumpulan pekerja asing dipercayai dari Bangladesh, membeli petrol di sebuah stesen minyak di Parit 13, Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor, mengundang tanda tanya.

Perbuatan mereka yang dirakamkan dan tersebar melalui media sosial menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat setempat apabila mereka dikatakan muncul menaiki tiga bas sebelum beratur membeli minyak petrol.

Seorang penduduk, Idham Sulaiman, 21, mendakwa, pembelian petrol secara beramai-ramai oleh warga Bangladesh itu sudah berlaku sejak beberapa bulan lalu.

“Biasanya mereka menaiki dua bas yang singgah di stesen minyak ini untuk membeli petrol menggunakan tong bersaiz lima hingga 10 liter setiap seorang,” katanya.

Idham yang juga peniaga air dan makanan ringan berkata, warga Bangladesh yang bekerja di ladang berhampiran dipercayai membeli petrol berkenaan untuk kegunaan sendiri di ladang tempat mereka bekerja.

“Bagaimanapun semalam, bilangan mereka yang membeli bahan bakar itu lebih ramai berbanding biasa.

“Ini menyebabkan petrol di stesen itu cepat habis sehingga menyusahkan penduduk,” katanya.

Penduduk, Suyut Hashim, 67, berkata, aktiviti itu dipercayai sudah bermula antara enam atau tujuh bulan lalu.

Menurutnya, ia aktif dilaukan ketika warga asing itu menerima gaji serta melakukan urusan kewangan di Teluk Intan.

“Mereka juga membeli barangan keperluan harian untuk sebulan di pekan Teluk Intan.

“Petrol yang dibeli itu untuk kegunaan warga asing di ladang dan bukan untuk dijual atau diniagakan seperti andaian sesetengah pihak,” katanya.

Sementara itu, pengurus stesen minyak berkenaan enggan mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung aktiviti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 7:53 PM