Leong Kwang On dijatuhkan hukuman penjara enam tahun atas kesalahan membaling botol berisi minyak petrol dan menyebabkan kebakaran garaj rumah mangsa. FOTO NSTP
Leong Kwang On dijatuhkan hukuman penjara enam tahun atas kesalahan membaling botol berisi minyak petrol dan menyebabkan kebakaran garaj rumah mangsa. FOTO NSTP
Murni Wan Omar


TINDAKAN tukang paip, Leong Kwang On kononnya mahu menakutkan seorang lelaki menerima padah apabila Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadapnya atas kesalahan membaling botol berisi minyak petrol dan menyebabkan kebakaran garaj rumah mangsa.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menjatuhkan hukuman itu terhadap Leong, 30, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Tertuduh didakwa melakukan khianat menggunakan api dengan niat mahu membinasakan rumah milik mangsa berusia 46 itu dengan cara membaling botol berisi minyak petrol sehingga menyebabkan bahagian garaj terbakar.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya V Suloshani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Leong dalam rayuannya berkata dia hanya berniat mahu menakutkan mangsa dan bukan mencederakan.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian mangsa berada di dalam rumah dan terdengar bunyi kaca pecah di bahagian halaman rumahnya sebelum melihat api di bahagian garaj.

Kejadian itu menyebabkan Toyota Vellfire milik mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan bonet dan bumper.

Apabila meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa dapat melihat seorang lelaki membaling botol berisi minyak itu ke arah rumahnya sebelum melarikan diri dengan menaiki Proton Iswara.

Selepas laporan dibuat, pihak polis membuat pemeriksaan dan melihat kereta itu melalui kawasan kediaman dalam keadaan mencurigakan.

Pasukan polis terus mengejar kereta tertuduh yang memecut laju sebelum dapat ditahan.

Hasil pemeriksaan, pihak polis menemui satu botol minuman keras yang terdapat sumbu kain merah, satu tong tujuh liter dan satu botol kuning yang masing-masing berisi minyak petrol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 3:28 PM